Sabtu, 5 Mac 2022

Lelaki gembira kahwini pasangan kembar tiga serentak


Seorang lelaki di Republik Demokratik Congo bertindak mengahwini pasangan adik-beradik kembar tiga secara serentak selepas mengakui jatuh cinta kepada mereka, lapor akhbar Daily Star pada 3 Mac 2022.


Menurut Luwizo, 32, dia membuat keputusan sukar itu selepas 'dilamar' oleh ketiga-tiga wanita berkenaan untuk mengahwini mereka pada hari yang sama.


"Saya menuruti permintaan itu kerana mereka merupakan kembar tiga. Ia bukan satu keputusan yang mudah kerana sehingga sekarang, ibu bapa saya masih tidak memahami apa yang saya lakukan ini," katanya.


Tambah Luwizo, dia pada mulanya telah jatuh cinta dengan salah seorang daripada kembar seiras tersebut, Natalie selepas berkenalan di media sosial.


"Saya tidak dapat menolak kecantikannya. Kami bertemu, berpelukan dan akhirnya membuat keputusan untuk berkahwin," katanya ketika bercakap dengan Afrimax English pada hari perkahwinannya.



Sementara itu, menurut salah seorang daripada kembar bernama Natasha, Natalie dan Nadege itu, Luwizo terkejut apabila diminta mengahwini ketiga-tiga mereka selepas menjalinkan hubungan cinta dengan Natalie.


"Namun, disebabkan dia telah jatuh cinta kepada kami bertiga, tiada yang mampu menghalang perkahwinan ini kerana kami juga mencintainya.


"Walaupun orang menganggap mustahil untuk tiga wanita berkongsi seorang suami, bagi kami, berkongsi segala-galanya adalah kehidupan kami sejak kecil," katanya.


Mereka berempat telah berkahwin pada Isnin (28 Februari) dengan ketiga-tiga beradik perempuan itu semuanya memakai pakaian putih tradisional, dan menerima cincin emas yang agak besar. - Sumber Daily Star.


Kembar tiga ini menegaskan mereka gembira untuk berkongsi seorang lelaki. - Foto Newsflash.


EmoticonEmoticon