Seorang lelaki ditahan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) selepas mereka menemui lebih 50 reptilia eksotik yang disembunyikan di dalam seluarnya, membabitkan kes percubaan menyeludup, lapor akhbar Daily Mail UK pada 9 Mac 2022.
Menurut Kastam dan Perlindungan Sempadan (CPB) AS dalam satu kenyataan, lelaki itu memandu trak ke pos lintasan sempadan San Ysidro pada 25 Februari lalu dan diheret keluar untuk pemeriksaan tambahan.
Apabila anggota-anggota unit kawalan sempadan melakukan pemeriksaan badan ke atas warga California berusia 30 tahun itu, mereka menemui 52 reptilia hidup dimasukkan ke dalam jaketnya dan di bahagian pangkal paha.
"Penyeludup akan mencuba setiap cara yang mungkin untuk cuba dan mendapatkan produk mereka, manakala dalam kes ini, ia adalah reptilia hidup," kata Pengarah Operasi Lapangan CBP di San Diego, Sidney Aki.
Dia menambah bahawa dalam kes tersebut, penyeludup cuba menipu anggota-anggota CBP untuk membawa haiwan ini ke AS tanpa menitik beratkan kesihatan dan keselamatan haiwan itu.
CPB merampas sembilan ekor ular dan 43 biawak bertanduk di mana sesetengah spesies itu dikategorikan sebagai terancam.
Lintasan sempadan San Ysidro adalah antara yang paling sibuk di dunia, dengan kira-kira 70,000 kenderaan dan 20,000 pejalan kaki melalui setiap hari. Oleh sebab itu, ia menjadi sasaran utama penyeludup.
EmoticonEmoticon