Ahad, 13 Mac 2022

Kereta sepanjang 100 kaki lengkap kolam renang dan helipad diiktiraf kereta terpanjang di dunia


Sebuah limosin lama yang dibaiki semula diiktiraf sebagai kereta terpanjang di dunia oleh Guinness World Records, berukuran 100 kaki (30.5 meter), lapor akhbar Daily Star pada 11 Mac 2022.


Limosin dinamakan sebagai American Dream itu dibina pada tahun 1986 oleh seorang peminat ubah suai kenderaan, Jay Ohrberg dan berukuran panjang 60 kaki (18.28 meter) ketika itu.


Namun, baru-baru ini kepanjangan kereta itu ditambah menjadi 100 kaki sekali gus melayakkan American Dream dinamakan sebagai kereta terpanjang di dunia oleh Guinness World Records.


Ia kini mempunyai 26 roda dan boleh memuatkan kira-kira 75 orang di dalamnya. Beberapa ciri baharu telah dipasang iaitu helipad (landasan untuk helikopter), sebuah kolam renang dan padang golf mini.




Kenderaan itu pernah muncul beberapa kali dalam filem Hollywood sebelum ditinggalkan dalam keadaan terbiar di sebuah gudang di New Jersey selama bertahun-tahun.


Pemilik sebuah muzium automobil dari New York, Michael Manning kemudiannya membuat keputusan untuk membaiki limosin tersebut. 


"Saya mula menemui kereta ini pada acara pameran di New Jersey dan ia berada dalam keadaan teruk.


"Badannya dipenuhi dengan lukisan grafiti, tingkapnya pecah dan tayar pancit. Bagaimanapun, saya amat menyukainya dan bertekad untuk mendapatkan kereta itu bagi membaikinya," kata Manning.


Bagaimanapun, akibat kekangan wang, rancangan Manning untuk membaiki American Dream terbantut sehingga memaksanya menjual limosin itu di laman eBay sebelum ia dibeli oleh seorang pemilik muzium kereta di Florida.


Selepas dibawa ke negeri itu, Manning tidak berputus asa dan mengambil bahagian dalam kerja-kerja mengubah suai kereta itu. Ia dilaporkan akan dipamerkan di Muzium Dezerland Park Car.


Manning bertekad untuk membaiki American Dream dan mengubah suainya menjadi seperti kereta baharu. - Foto Guinness World Records.


EmoticonEmoticon