Sebuah kapal pengangkut pesawat milik Amerika Syarikat (AS) yang pernah menjadi lambang terbesar kuasa tentera AS di Indo-Pasifik, kini dalam perjalanan menuju ke tapak pelupusan.
Lapor laman berita CNN pada 15 Mac 2022 , USS Kitty Hawk pernah diuji dalam pelbagai pertempuran dari Vietnam hingga ke Teluk Parsi. Malah, kapal pengangkut itu terselamat daripada insiden pertembungan dengan kapal selam Soviet.
"Zaman kegemilangan USS Kitty Hawk yang dihasilkan pada 1960 kini sudah berakhir. Kapal pengangkut itu dalam perjalanan dari Washington ke Texas, kira-kira 25,749 kilometer (km) yang mana ia akan dipotong dan bahagiannya dijual," jelas laporan itu.
International Shipbreaking Limited of Brownsville di Texas, membeli kapal itu daripada Naval Sea Systems Command (NAVSEA) pada tahun lalu dengan harga kurang daripada AS$1 (RM4.18).
NAVSEA bertanggungjawab menyelia pelupusan kapal perang yang sudah 'bersara' - USS Kitty Hawk sepanjang 1,047 kaki, lebar 252 kaki itu dikatakan terlalu besar untuk melalui Terusan Panama.
"Oleh hal yang demikian, dalam beberapa bulan akan datang, USS Kitty Hawk akan berlayar di sepanjang pantai Amerika Selatan dan melalui Teluk Mexico sehingga ke destinasi terakhir," jelas laporan itu.
Dilancarkan pada tahun 1960 dan dinamakan sempena kawasan North Carolina. USS Kitty Hawk sudah berkhidmat dengan Tentera Laut AS selama hampir 50 tahun sebelum ditamatkan operasi pada 2009.
USS Kitty Hawk merupakan kapal pengangkut pesawat terakhir yang menggunakan minyak, peninggalan zaman sebelum ketibaan kapal kelas Nimitz berkuasa nuklear.
EmoticonEmoticon