Sebuah kapal kargo Felicity Ace yang membawa ribuan kereta mewah dan terbakar lebih seminggu lalu akhirnya karam di tengah lautan Atlantik, lapor akhbar Daily Mail, semalam.
Menurut tentera laut Portugal, Felicity Ace yang dalam perjalanan ke Amerika Syarikat (AS), karam kira-kira 402.3 kilometer (km) dari Kepulauan Azores di Portugal ketika ia ditunda.
Lapor Daily Mail, Pengurus Felicity Ace memaklumkan kapal sepanjang 198.12 meter itu berada pada kedudukan sisi kanan sebelum karam. Menurut Tentera Laut Portugal, kejadian itu berlaku di luar perairan negaranya.
Sebelum ini, sebuah helikopter milik Tentera Udara Portugal berjaya memindahkan 22 anak kapal ketika kebakaran berlaku yang menyebabkan kapal itu hanyut - ia terbakar sejak minggu lalu, di tengah Lautan Atlantik.
Bot tunda yang membawa peralatan pemadam api berusaha memadamkan kebakaran pada kapal tersebut, namun berdepan kesukaran susulan angin kencang dan laut bergelora.
Felicity Ace mampu membawa muatan kargo melebihi 17,000 metrik tan dan kebiasaannya digunakan untuk mengangkut ribuan kenderaan.
Bloomberg yang memetik sumber Volkswagen di AS melaporkan, kapal itu membawa sebanyak 3,965 kenderaan keluaran syarikat tersebut, selain Porsche, Audi dan Lamborghini.
Portal The Drive pula memaklumkan, Felicity Ace turut membawa 189 kenderaan keluaran Bentley yang dianggarkan bernilai AS$30 juta (RM126 juta). Kumpulan Volkswagen dalam satu kenyataan memberitahu, kapal tersebut dalam perjalanan ke AS.
EmoticonEmoticon