Sabtu, 12 Mac 2022

India secara tidak sengaja tembak peluru berpandu ke Pakistan


India pada Jumaat, 10 Mac 2022, mendakwa tersilap menembak peluru berpandu ke Pakistan, kerana 'kerosakan teknikal' ketika penyenggaraan rutin, lapor BBC News pada 11 Mac 2022.


India mengemukakan alasan itu selepas Pakistan, yang juga seteru lamanya, memberi amaran perbuatan seumpama itu berpotensi mengundang kesan yang amat serius.


Kementerian Pertahanan India, dalam satu kenyataan, berkata pada 9 Mac 2022, ketika sesi penyenggaraan rutin, kerosakan teknikal menyebabkan kesilapan melancarkan sebuah peluru berpandu.


"Difahamkan, peluru berpandu berkenaan jatuh berhampiran bandar timur Mian Channu di Pakistan tetapi tidak berlaku sebarang kehilangan nyawa, namun kesilapan itu amat dikesali.


"Kerajaan India memandang serius kemalangan ini dan sudah mengarahkan Inkuiri Mahkamah peringkat tertinggi bagi menyiasat isu terbabit," katanya.


Tentera udara Pakistan berkata, peluru berpandu itu bergerak pada kelajuan Mach 3 (tiga kali ganda kelajuan bunyi) pada ketinggian 12,000 meter dan terbang sejauh 124 kilometer di ruang udara Pakistan sebelum terhempas.


"Laluan penerbangan objek ini membahayakan banyak penerbangan penumpang nasional dan antarabangsa di ruang udara India dan Pakistan, serta nyawa manusia dan harta tanah," kata jurucakap tentera Pakistan Mejar Jeneral Babar Iftikharon, pada Khamis lalu.


Pada hari Jumaat, kementerian luar Pakistan berkata ia telah memanggil pihak berkuasa India untuk mengadu mengenai insiden itu. Pakistan juga menggesa India untuk berkongsi hasil siasatannya terhadap apa yang berlaku.


Terdahulu, kerajaan Pakistan memanggil wakil Kedutaan India di Islamabad untuk menyampaikan bantahan terhadap 'tindakan tanpa provakasi' dan pencabulan ruang udara.


India dan Pakistan sudah tiga kali berperang sebelum ini, terkini pada 2019 yang menyaksikan tentera kedua-dua negara yang memiliki senjata nuklear itu bertempur.


Peluru berpandu Akash buatan India dipamerkan ketika perarakan sambutan Hari Republik Ke-73 di Rajpath, New Delhi. - Foto AFP.

Serpihan daripada peluru berpandu berkenaan ditemukan dekat Mian Channu, Pakistan. - Foto Reuters.


EmoticonEmoticon