Sabtu, 5 Mac 2022

Gempar lelaki 'mengamuk' atas lori kontena, dipercayai kurang siuman


Suasana di Persiaran Hamzah Alang, Taman Meru 4, Klang, gempar apabila seorang lelaki dipercayai kurang siuman mengamuk atas sebuah lori kontena hari ini (5 Mac 2022).


Kejadian tular di media sosial itu dipercayai berlaku pada 10.50 pagi, apabila seorang lelaki yang berusia lingkungan 30-an memegang objek seperti kayu berada di atas kenderaan terbabit sambil menjerit.


Keadaan itu menimbulkan kegusaran orang awam yang berada berdekatan premis perniagaan di kawasan itu, dan bertindak menghubungi pihak berkuasa untuk bantuan lanjut.


Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.07 pagi.



Katanya, sepasukan 12 anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar dikerah dalam operasi berkenaan.


"Setibanya di lokasi, anggota kita segera meletakkan jentera bomba bersebelahan lori kontena tersebut. Ia bagi membantu memudahkan polis untuk menahan lelaki yang dipercayai kurang siuman itu," katanya dalam kenyataan hari ini.


Tambah Norazam, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 11.29 pagi.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu pada 10.58 pagi.


"Polis menerima maklumat mengatakan ada orang tidak siuman berada di atas sebuah lori kontena.


"Polis ke lokasi sebelum menangkap lelaki itu dengan bantuan bomba dan dia dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk menerima rawatan," katanya.


Lelaki di atas lori kontena mencetuskan suasana gempar di Persiaran Hamzah Alang, Taman Meru 4, di Klang, Selangor.


EmoticonEmoticon