Rabu, 30 Mac 2022

Bongkah ais sebesar Rom di Antartika runtuh sepenuhnya


Bongkah ais yang dianggarkan bersaiz keluasan sebesar Rom didapati runtuh dan pecah sepenuhnya di Antartika Timur, dalam tempoh beberapa hari selepas peningkatan suhu.


Menerusi lapor The Guardian pada 24 Mac 2022, yang merujuk data satelit mendapati bongkah ais Conger mempunyai permukaan 1,200 kilometer persegi, pecah 15 Mac lalu.


Saintis berkata, Antartika Timur merekodkan suhu tinggi luar biasa minggu lalu, dengan stesen Concordia merekodkan suhu meningkat kepada -12 darjah Celcius, bersamaan lebih daripada 40 darjah Celcius iaitu lebih panas daripada biasa.


Rekod suhu tinggi adaalah hasil daripada sungai atmosfera yang memerangkap haba di atas benua itu. Bongkah ais ialah sambungan kepingan ais yang terapung di lautan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan ais di daratan.


Tanpa bongkah tersebut, ais di daratan mengalir lebih cepat ke lautan yang mengakibatkan kenaikan paras laut.


Saintis Bumi dan Planet di Institut Oseanografi Woods Hole, Dr. Catherine Colello Walker berkata, insiden itu merupakan salah satu peristiwa bongkah ais pecah paling ketara sejak awal 2000, walaupun paras ais Conger agak kecil.


"Ia tidak akan mempunyai kesan yang besar, namun, kemungkinan ia adalah petanda mengenai kemungkinan yang akan berlaku," kata Walker.



Walker berkata, bongkah ais Conger mencair sejak pertengahan 2000, tetapi hanya secara beransur-ansur cair sehingga awal 2020.


Jelasnya, menjelang 4 Mac tahun ini, bongkah ais kelihatan kehilangan lebih daripada separuh luas permukaannya berbanding ukuran pada Januari iaitu sekitar 1,200km persegi.


Dalam pada itu, Ahli Glasiologi di Universiti Minnesota, Peter Naff berkata, insiden itu adalah satu kejutan walaupun bongkah ais yang kecil pecah.


"Kami masih menganggap Antartika Timur seperti kiub ais yang besar, tinggi, kering, sejuk dan tidak beralih.


"Pemahaman semasa mencadangkan sebahagian besar tidak akan kehilangan ais dengan cepat disebabkan oleh geometri ais dan batuan dasar di sana," katanya.


Data satelit dari misi Copernicus Sentinel-1 menunjukkan pergerakan bongkah ais bermula antara 5 hingga 7 Mac lalu.


Rakaman imej satelit menunjukkan kepingan bongkah ais Conger yang pecah di Antartika. - Foto NASA.

Imej satelit menunjukkan ais Conger runtuh. - Foto USNIC.


EmoticonEmoticon