Seorang pengunjung sebak bercampur marah menyaksikan 20 bangkai kucing bergelimpangan disyaki diracun di kawasan Pantai Keluang, Besut, pada jam 9.30 pagi tadi.
Roshanafi Osman, 39, yang menetap di Alor Lintang berhampiran bersama isteri bersiar-siar di pesisir pantai itu, selepas selesai sarapan di sebuah gerai berhampiran sebelum dikejutkan dengan penemuan bangkai kucing tersebut.
Katanya, satu laporan sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampung Raja jam 3.30 petang tadi. Tindakan itu bagi membolehkan pihak berkuasa melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian.
"Tujuh daripada jumlah keseluruhan kucing itu masih kecil. Bangkai dijumpai bersama beberapa ekor kucing peliharaan kerana mempunyai tali leher," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, seorang rakannya yang sering memberi makan kucing itu sejak sekian lama memberitahu sebelum ini semua haiwan berkenaan dalam keadaan sihat.
"Saya bersama keluarga serta rakan membantu mengutip bangkai kucing untuk ditanam dalam satu lubang.
"Petang ini pihak veterinar meminta saya menunjukkan lokasi bangkai ditanam dan menggali semula untuk bedah siasat punca kematian," katanya.
Katanya, kejadian itu juga turut mengundang simpati ramai pihak yang kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab.
EmoticonEmoticon