Seorang isteri di Desa Gedungbanteng, Daerah Sukorejo, Ponorogo, dalam wilayah Jawa Timur nekad merobohkan rumah miliknya bersama suami selepas dia diceraikan asbab orang ketiga, lapor laman Berita Jatim pada 3 Februari 2022.
Darmi,40, yang berkahwin dengan suaminya Purwanto,35, pada 2010 lalu mengaku sengaja merobohkan rumah yang dibina pada 2016 itu dengan jentolak kerana berang diceraikan.
"Tanah ini milik orang tua Purwanto, iaitu bekas suami saya tetapi rumah ini kami bina bersama-sama. Sekarang dia sudah ada wanita lain, saya tidak akan benarkan bekas suami dan kekasihnya tinggal di rumah ini. Biar sama-sama tidak memiliki rumah ini, barulah adil," jelas Darmi.
Saat ditanya sama ada dia berasa menyesal merobohkan rumah yang boleh diwarisi oleh anak-anak, Darmi pantas menafikannya.
"Saya bina rumah bukan untuk anak-anak tetapi untuk hidup bersama suami hingga ke hari tua. Ternyata, kami berpisah jadi jalan paling senang, robohkan sahaja.
"Saya juga mendermakan semua barang-barang dalam rumah buat mereka yang berminat. Saya tidak mahu wang atau apa pun, cukup rumah ini sudah dirobohkan," katanya ketika ditemui di lokasi tersebut pada 3 Februari 2022.
Menurut Darmi, keputusan merobohkan rumah itu terpaksa dipersetujui bekas suami Purwanto, kerana kos pembinaan rumah tersebut kebanyakannya datang daripada keluarganya.
Untuk makluman, kejadian merobohkan rumah sebelum ini juga berlaku di Ponorogo. Ia berlaku pada Julai 2021, di Desa Carangrejo, Kecamatan Sampung Ponorogo. Sebab perobohan pun sama, sebab tuan punya rumah dah bercerai.
EmoticonEmoticon