Ahad, 6 Februari 2022

Wanita maut terbelit rambut sendiri ketika hadiri temuduga kerja di sebuah kilang kimpalan


Seorang wanita yang mengandung tujuh minggu maut akibat terbelit rambut sendiri selepas rambutnya tersangkut di sebuah mesin di kilang Svarmet di Borisov, Belarus.


Memetik lapor akhbar Daily Mail pada 3 Februari 2022, Umida Nazarova, 21, dibawa mengelilingi kilang tersebut ketika menghadiri temuduga kerja di kilang yang mengeluarkan produk berkaitan wayar kimpalan dan elektrod.


Semasa lawatan itu, rambutnya yang panjang tiba-tiba terperangkap dalam mesin dan melilit lehernya sebelum mangsa terperangkap dan berlumuran darah selepas kulit kepalanya tercabut.



Ibu mangsa, Olga berkata, bahagian leher anaknya turut mengalami kecederaan akibat lilitan rambut tersebut.


"Dia mengalami kecederaan parah susulan kejadian itu. Saya sedih kerana kilang tersebut melanggar peraturan keselamatan sehingga meragut nyawa anak saya.


"Mereka nampak Umida mempunyai rambut panjang, kenapa tidak diberikan sebarang penutup untuk melindungi kepalanya?" soalnya.


Mangsa yang mengalami kecederaan serius tidak pernah sedarkan diri selama mendapatkan rawatan di hospital sebelum disahkan meninggal dunia 20 hari kemudian.


Mahkamah menjatuhkan hukuman kepada ketua kilang pengeluaran tersebut kerana gagal menunaikan tanggungjawab keselamatan selain tidak bersikap jujur dan cuai sehingga menyebabkan kematian seseorang. - Sumber Daily Mail.


Umida Nazarova mengalami kecederaan parah di kepala selepas rambutnya tersangkut di mesin kilang di Belarus. - Foto EAST2WEST NEWS.

Olga berkata anak perempuannya tidak sabar untuk bersalin. - Foto EAST2WEST NEWS.


EmoticonEmoticon