Seekor ular sawa yang kekenyangan selepas menelan dua ekor ayam ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Penjara Satelit di Kem Bukit Besar, Kulim, Semalam.
Pegawai APM Daerah Kulim, Leftenan (PA) Mohd. Faizol Ab. Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai ular sawa sepanjang tiga meter dan berat 10 kilogram itu kira-kira pukul 8 pagi.
Katanya, pekerja di penjara tersebut memaklumkan mereka terdengar bunyi bising ayam yang berada di dalam reban yang terletak di belakang rumah kakitangan.
Menurutnya, pekerja berusia 42 tahun itu kemudian mendapati seekor ular sawa berada di dalam reban ayam tersebut.
"Pengadu bertindak menghubungi pihak APM untuk mendapatkan bantuan dan lima anggota APM tiba di lokasi kemudian mengesan ular terbabit yang masih berada di dalam reban.
"Anggota APM mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap ular itu yang bersembunyi di dalam reban ayam terbabit," katanya.
Mohd. Faizol berkata, selepas ditangkap ular sawa terbabit memuntahkan dua ekor ayam yang ditelan itu.
"Ular sawa itu kemudian dibawa balik ke Pejabat APM Daerah Kulim sebelum dihantar ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah untuk tindakan lanjut," jelasnya.
EmoticonEmoticon