Pemburuan eksoplanet atau planet luar suria yang boleh menampung kehidupan seperti Bumi, masih diteruskan. Kali ini, kumpulan astronomi dari Pemantau Angkasa Lepas Eropah (ESO) mendakwa menemukan tiga planet baharu yang mempunyai tanda-tanda kehidupan.
Memetik lapor Forbes pada 5 Ogos 2021, ketiga-tiga planet itu dikatakan mempunyai sumber air menyerupai planet Zuhrah, Utarid dan Marikh. Ia dikesan dengan menggunakan Very Large Telescope (VLT) milik ESO, selain diketahui mempunyai jarak 35 tahun cahaya dari Bumi.
Maria Osorio dari Pusat Atrobiologi berkata, planet yang terletak dalam zon boleh dihuni mungkin memiliki atmosfera yang dapat melindungi dan menyokong kehidupan.
Berdasarkan pemerhatian, ketiga-tiga planet baharu tersebut mempunyai air di dasar dan atmosferanya. Planet paling dekat dengan bintang (matahari) dikenali sebagai L- 98-59a yang mempunyai separuh daripada jisim Zuhrah, manakala dua lagi planet yang ditemukan adalah L 98-59b dan L 98-59c.
"Kami akhirnya semakin hampir dengan pengesanan planet terestrial di zon boleh dihuni, yang mana kami boleh mengkaji atmosfera," kata Olivier Demangeon pengarang utama kajian yang diterbitkan dalam Astronomi & Astrofizik.
Katanya, kajian tentang atmosfera eksoplanet boleh mendedahkan kehadiran biosignature, seperti oksigen dan metana yang mungkin dianggap sebagai bukti saintifik tentang kehidupan dahulu atau sekarang. Namun, teleskop semasa tidak mempunyai resolusi untuk mengkajinya.
Walau bagaimanapun, kerana sistem L 98-59 agak hampir dengan Bumi, para penyelidik dapat mengesan eksoplanet itu menggunakan teleskop VLT di Chile. Katanya, pada masa hadapan mungkin dapat kembali kepada penemuan mereka dengan menggunakan teleskop lebih besar.
"Apa yang penyelidik telah temukan setakat ini pasti meletakkan L 98-59 pada senarai 'untuk dilakukan'. Ia pasti akan dikaji oleh Teleskop Angkasa James Webb (JWST), yang telah dilancarkan ke angkasa pada 25 Disember 2021 lalu," katanya.
EmoticonEmoticon