Ahad, 20 Februari 2022

Saintis temui varian genetik bakteria baharu dalam kapal angkasa bantu manusia hidup di Marikh


Sepasukan saintis telah mengenal pasti tiga varian genetik baharu bakteria yang belum ditemui sebelum ini, di dalam sebuah kapal angkasa yang mengorbit Bumi 15 kali sehari, lapor akhbar Daily Star pada 17 Februari 2022.


Mikroorganisma tersebut ditemui di lokasi berasingan termasuk ruang pertumbuhan khas tumbuh-tumbuhan, di mana penyelidik telah cuba untuk menanam tanaman dalam keadaan sifar graviti.


"Tiga varian Methylobacteriaceae yang berbentuk batang dan mampu bergerak, tidak pernah ditemui sebelum ini," demikian menurut kajian oleh NASA yang diterbitkan di dalam jurnal Frontiers In Microbiology.


Para penyelidik berpendapat bahawa penemuan itu dapat membantu dalam misi penerokaan planet Marikh kerana ciri-ciri bakteria tersebut yang mampu membantu tumbuh-tumbuhan untuk bertumbuh.


Disebabkan kepentingan kajian tersebut, para saintis kini ingin mengembangkan Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dengan menempatkan sebuah makmal biologi baharu untuk mengumpul, memproses dan menganalisis mikrob di angkasa tanpa menghantar semula ke Bumi.


Dua saintis NASA, Dr. Nitin Kumar Singh dan Dr. Kasthuri Venkateswaran berkata, adalah amat penting untuk mencari bakteria baharu yang dapat membantu tumbuhan hidup dalam keadaan sukar serta lokasi ekstrem berserta sumber terhad.


"Berbanding mengembalikan sampel ke Bumi untuk pemeriksaan, sistem pemantauan mikrob bersepadu yang mengumpul, memproses dan menganalisis sampel di lokasi iaitu angkasa, menggunakan teknologi molekul, akan mempercepatkan proses tersebut.


"Apabila kita sudah menakluki Marikh, adalah menjadi satu cabaran untuk menanam tumbuh-tumbuhan, namun bakteria ini mungkin akan memudahkan semua itu," kata mereka.


Mikroorganisma tersebut ditemui di lokasi berasingan termasuk ruang pertumbuhan khas tumbuh-tumbuhan. - Foto NASA.


EmoticonEmoticon