Ahad, 27 Februari 2022

Ribuan bangkai ikan terdampar di pantai, puncanya masih menjadi misteri


Kemunculan ribuan ikan di pantai sering kali dikaitkan dengan petanda bencana. Baru-baru ini beberapa rakaman foto memaparkan ribuan bangkai ikan memenuhi kawasan pantai menimbulkan persoalan di kalangan penduduk setempat.


Menurut seorang wanita, beliau menemui kejadian itu ketika dia berjalan bersama anaknya di pantai Coliumo berhampiran Concepcion, di wilayah Biobio, Chile, pada pagi hari Sabtu 19 Februari lalu.


Ikan-ikan yang telah mati terdampar di tepi pantai itu menyebabkan pantai kelihatan berkilau. Pegawai Alam Sekitar Chile sedang menyiasat punca terjadinya fenomena itu dengan meneliti kualiti air, lapor Daily Star pada 21 Februari 2022.


Kisah penemuan ribuan bangkai ikan terdampar tersebut telah tular di media sosial dan menjadi perbualan ramai, namun tiada seorang pun tahu secara pasti penyebab sebenar atau bagaimana keadaan itu terjadi.


Sebelum ini, pada tahun lepas kejadian seperti ini pernah berlaku di wilayah Biobio, dan hasil siasatan mendapati punca utama kematian ikan pada waktu itu adalah kerana kandungan oksigen yang rendah di dalam air.



Menurut penduduk tempatan, kemungkinan kejadian serupa yang berlaku pada Sabtu adalah disebabkan punca yang sama. Ikan-ikan tersebut berenang menghampiri pantai untuk mencari oksigen dan nutrien.


Selain di Chile, kejadian ikan terdampar di pantai pernah berlaku di beberapa lokasi lain. Antaranya pada April tahun lalu, ratusan ikan lumba-lumba dan ikan dihanyutkan di pantai di Accra, Ghana. Kajian mendapati ia berpunca daripada masalah persekitaran dan faktor tekanan.


Pada Oktober tahun lalu juga, ribuan ikan kecil pernah dihanyutkan di Pantai Chesil di Dorset, United Kingdom (UK). Agensi Alam Sekitar UK mendapati ia disebabkan kejadian semula jadi susulan spesies ikan besar mengejar ikan yang bersaiz kecil sehingga berakhir di pantai.


Bagaimanapun, insiden ikan dihanyutkan ke pantai Bali pada Julai 2019 adalah petanda bencana alam. Ribuan ikan terdampar di Pantai Canggu dan Pantai Batu Bolong sejurus sebelum terjadinya gempa bumi bermagnitud 6 pada skala Richter.


Fenomena Aneh, Ribuan Ikan Terdampar Di Pantai, Puncanya Masih Menjadi Misteri.


EmoticonEmoticon