Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) akhirnya mendedahkan imej awan yang dirakamkan kenderaan robotik Curiosity di lokasi penjelajahannya di planet Marikh, lapor laman berita Newsweek pada 21 Februari 2022.
Curiosity ialah salah satu kenderaan peneroka Marikh yang telah berada di permukaan planet ini sejak Ogos 2012. Ia adalah pendahulu kepada rover Perseverance yang lebih baharu yang mendarat di Marikh pada Februari 2021.
Walaupun Perseverance mungkin lebih maju dari segi teknikal, Curiosity masih beroperasi sehingga hari ini, dan sedang menjalankan penyelidikan berharga di planet Merah itu.
Menurut NASA, bukan satu tugas yang mudah bagi kenderaan tersebut untuk merakamkan imej awan itu. Ini kerana kamera Curiosity tidak direka untuk merakamkan awan tersebut.
Sebaliknya, kamera kenderaan itu digunakan untuk tujuan merakamkan imej batuan di Marikh dan landskap dalam misinya untuk mencari tanda-tanda kuno kehidupan di planet tersebut.
Bagaimanapun, ia berjaya merakamkan imej tersebut yang menunjukkan awan yang kelihatan sangat samar sehinggakan NASA terpaksa menggunakan teknik pengimejan khas untuk melihatnya selain menghasilkan dua klip rakaman itu.
Kenderaan robotik itu merakamkan imej awan tersebut pada 12 Disember 2021 tetapi NASA hanya mendedahkannya kepada umum baru-baru ini.
Dalam satu klip video, ia menunjukkan pergerakan awan manakala satu lagi imej menunjukkan awan di langit berada di atas kenderaan tersebut. Menurut NASA, awan itu sangat tinggi dan berada hampir 80 kilometer di atas permukaan planet Marikh.
Dengan mengkaji imej awan Marikh, saintis boleh memahami bagaimana ia terbentuk di planet itu dan mengapa sesetengahnya berbeza dengan yang lain.
EmoticonEmoticon