Rabu, 23 Februari 2022

Lelaki diculik di Kemboja dijadikan 'hamba darah' selama beberapa bulan berjaya melarikan diri


Seorang lelaki dari China dilaporkan diculik dan dijadikan 'hamba darah' selama beberapa bulan di Kemboja selepas terpedaya dengan tawaran iklan pekerjaan palsu, lapor Daily Star pada 20 Februari 2022.


Lelaki yang hanya dikenali dengan nama keluarga Li berjaya melarikan diri pada awal bulan ini dengan bantuan ahli kumpulan yang menculiknya. Dia kini sedang dirawat di sebuah hospital di Kemboja dan berada dalam keadaan stabil, lapor South China Morning Post.


Sejak Ogos tahun lalu, kumpulan itu mengambil sebanyak 800 mililiter (ml) darah setiap bulan daripada badan Li. Berdasarkan garis panduan kesihatan global, manusia tidak boleh menderma darah melebihi 500 ml bagi setiap sesi.


Dilaporkan, darah itu dijual kepada pembeli persendirian secara dalam talian. Apabila dia dimasukkan ke hospital minggu lalu, lengan Li dipenuhi dengan kesan lebam dan kesan jarum.


Sementara itu, Li yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di Shenzhen dan Beijing berkata, dia menolak untuk terlibat sama dalam skim penipuan kumpulan tersebut.


Katanya, kumpulan itu menggunakannya sebagai 'hamba darah' selepas mengetahuinya seorang yatim piatu dan tidak boleh digunakan untuk wang tebusan.


Li pada mulanya terpedaya dengan tawaran iklan pekerjaan palsu dan ditahan oleh individu bersenjata serta dibawa merentasi sempadan China-Vietnam.


Lelaki itu kemudian dijual pada harga AS$15,000 (RM62,801) kepada kumpulan Kemboja yang menjalankan skim penipuan. Menurut Li, tujuh lelaki lain turut ditahan dalam bilik yang sama dengannya.


"Oleh kerana saya mempunyai darah jenis O negatif, kumpulan itu mengambil lebih banyak darah berbanding lelaki lain," katanya.


Tambahnya, dia turut diugut untuk dijual kepada penuai organ haram jika dia tidak memberikan darahnya kepada mereka. - Sumber Daily Star.


Li sedang menerima rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil.


EmoticonEmoticon