Isnin, 7 Februari 2022

Lapisan ais semakin cair di Greenland, 100 juta orang ditenggelami air setiap tahun

Gambar hiasan.

Lapisan ais di Greenland kehilangan 4,700 gigaton ais sejak dua dekad lalu, sekali gus memberi amaran jumlah itu mencukupi untuk menenggelamkan Amerika Syarikat (AS) di bawah 0.3 meter air.


Menerusi lapor akhbar Daily Mail pada 4 Februari 2022, penemuan itu hasil kajian analisis data Denmark dari satelit Gravity Recovery and Climate Experiment (GRACE) yang dikumpul dari April 2002 hingga Ogos 2021.


"Data menunjukkan kebanyakan ais hilang di sepanjang pinggir kepingan ais. Pemerhatian bebas juga menunjukkan ais semakin menipis dan terdapat tahap pencairan lebih tinggi dari permukaan ais," kata penyelidik.


Penyelidik NASA memberitahu, kehilangan ais amat teruk di sepanjang pantai Greenland Barat akibat pemanasan air di bawah permukaan yang mempercepatkan pencairan glasier.


"Kehilangan lapisan ais Greenland dan Antartika adalah antara penyebab utama kenaikan paras laut yang berpunca akibat perubahan iklim," kata agensi itu.


Menurut pusat Data Salji dan Ais Kebangsaan AS, apabila seluruh lapisan ais Antartika mencair, ia akan meningkatkan paras laut global sebanyak kira-kira 60 meter. Sekiranya lembaran ais Greenland hilang, ia turut menyumbang peningkatan paras laut global sebanyak 7.4 meter.


Malah, kajian 2019 yang diterbitkan dalam jurnal Nature mengira bahawa di bawah tahap pemanasan semasa, Greenland akan menyumbang sekitar 7 hingga 13 sentimeter kepada kenaikan paras laut global menjelang akhir abad ini.


"Setiap kenaikan sentimeter dalam paras laut global, 6 juta orang terdedah kepada banjir pantai. Kalau dilihat tahap pemanasan semasa, pencairan ais Greenland akan menyebabkan 100 juta orang ditenggelami air setiap tahun," kata saintis iklim dari Universiti Leeds dan pengarang kertas 2019, Andrew Shepherd.


Kehilangan lapisan ais Greenland dan Antartika adalah antara pemacu utama kenaikan paras laut yang dicetuskan oleh perubahan iklim, kata NASA. (Gambar) perubahan dalam ketebalan ais di atas Greenland antara 2018–2020.


EmoticonEmoticon