Sebuah perkampungan di Aceredo di Sepanyol, yang sebelum ini 'hilang' selama 30 tahun kerana pembinaan empangan, kini dapat dilihat semula apabila paras air empangan turun mendadak selepas kemarau.
Menurut Mirror UK pada 19 Februari 2022, melaporkan kawasan kampung yang tenggelam itu dapat dilihat selepas kawasan berkenaan tidak dilanda hujan selama hampir dua bulan.
Ia bukan sesuatu yang luar biasa untuk melihat bumbung bangunan di permukaan empangan Lindoso di barat laut Sepanyol itu. Malah, penduduk tempatan dapat melihat kereta berkarat dan jalan lama.
Ketika musim kemarau, kampung lama itu akan muncul semula selepas ditenggelami 30 tahun lalu selepas pembinaan empangan hidroelektrik yang menyebabkan kampung itu tenggelam.
Bagaimanapun, kini adalah musim sejuk, tetapi hampir keseluruhan kawasan kampung itu dapat dilihat.
Kapasiti air empangan itu pada masa ini hanya 15 peratus. Ia sekali gus mendedahkan bangunan dan struktur di kampung itu dengan sebahagian bumbung runtuh, batu bata dan serpihan kayu bertaburan di sekeliling.
"Saya pernah pergi ke bar bersama rakan-rakan selepas pulang dari memancing, seluruh tempat ini dahulunya adalah ladang anggur, pokok oren dan semuanya hijau..ia cantik," kata Jos Luis Penn, yang kini berusia 72 tahun.
EmoticonEmoticon