Khamis, 17 Februari 2022

Bekas ratu cantik jadi pemandu treler 44 tan


Seorang model dan bekas finalis pertandingan ratu cantik Miss England 2018, menukar haluan kerjaya apabila menyertai latihan sebagai pemandu kenderaan barangan berat (HGV), lapor akhbar Daily Mail pada 13 Februari 2022.


Milly Everatt, 22, dari Eastoft, Lincolnshire, mengambil keputusan itu berikutan krisis kekurangan pemandu lori yang berlaku di United Kingdom (UK), tambahan pula, pekerjaan tersebut menawarkan gaji lumayan.


Everatt yang juga anak petani bekerja keras ke arah mencipta kerjaya baharu, untuk menangkis streotaip dalam industri tradisional yang didominasi oleh golongan lelaki.


Dia ketika ini berlatih untuk kategori lesen pemandu kenderaan barangan berat (HGV) kelas 1 dan 2, yang mungkin menyaksikan model berusia 22 tahun itu bakal memandu lori membawa muatan seberat 44 tan.


"Saya fikir kita berada di zaman moden dan tiada apa yang boleh menghalang gadis seperti saya terlibat dalam dunia yang didominasi lelaki.



"Ia bukan norma tetapi ia sepatutnya. Ia juga sesuatu yang tidak difikirkan oleh orang ramai, ia tidak cukup difikirkan dalam feminisme.


"Saya mengenali beberapa anak perempuan petani yang tidak melakukan apa-apa untuk membantu ibu bapa mereka bertani. Pertanian telah dilupakan oleh feminisme.


"Saya mahu membuktikan bukan hanya lelaki berusia 40-an yang mampu melakukan kerja ini dan jika ia memberi inspirasi kepada wanita lain untuk melakukan perkara yang sama," kata Everatt.


Meskipun berjaya di pentas peragaan, mendapatkan lesen HGV sentiasa berada dalam senarai perkara yang perlu dilakukan oleh Milly.


"Saya sepatutnya melakukannya pada usia 18 tahun tetapi penularan wabak Covid-19 berlaku jadi saya menangguhkannya.


"Kekurangan pemandu HGV pada tahun lepas benar-benar mendorong saya untuk mendapatkannya semula," jelasnya.


Milly Everatt dari Eastoft, Lincolnshire, telah dinobatkan sebagai Miss Charity pada 2018.
 
Everatt mahu menghapuskan stereotaip bahawa hanya lelaki 40-an sahaja yang boleh memandu HGV.


EmoticonEmoticon