Rabu, 16 Februari 2022

Amazon semakin gondol, penebangan hutan semakin berleluasa


Aktiviti penebangan hutan Amazon di Brazil semakin berleluasa apabila data pada bulan Januari tahun ini, menunjukkan keluasan kawasan hutan yang digondolkan adalah lima kali ganda lebih besar berbanding tempoh sama tahun lepas.


Menurut laporan BBC News pada 13 Februari 2022, kawasan hutan Amazon seluas 430 kilometer persegi telah ditebang sekali gus rekod tertinggi untuk bulan Januari yang pernah dicatatkan sejak 2015.


Aktivis-aktivis alam sekitar menuduh Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, sebagai individu bertanggungjawab yang membenarkan aktiviti penebangan hutan dipertingkatkan.


Mereka mengaku tidak terkejut melihat rekod pada bulan Januari 2022 itu ekoran tindakan Bolsonaro, melonggarkan undang-undang bagi membenarkan aktiviti penebangan hutan Amazon sejak beliau memulakan tugasnya pada 2019.


Kerajaan Brazil bagaimanapun menyangkal semua laporan tersebut, dan mendakwa bahawa jumlah penebangan hutan antara Ogos tahun lepas hingga Januari 2022, adalah lebih rendah berbanding tempoh sama dua tahun lepas.



Ketika Persidangan Perubahan Iklim COP26 di Glasgow pada tahun lepas, lebih 100 negara berikrar untuk menghentikan aktiviti penebangan hutan menjelang 2030.


Bagaimanapun, data satelit terbaharu daripada Agensi Angkasa Lepas Brazil (INPE) itu menimbulkan tanda tanya terhadap komitmen kerajaan Bolsonaro dalam melindungi hutan hujan terbesar dunia itu, kata aktivis-aktivis alam sekitar.


"Data terbaharu ini sekali lagi mendedahkan situasi bagaimana tindakan yang diambil kerajaan Brazil adalah bertentangan dengan kempen-kempen hijau yang dijalankannya," kata jurucakap Greenpeace Brazil, Cristiane Mazzetti.


Greenpeace Brazil merupakan sebuah pertubuhan alam sekitar yang giat menggesa pasar raya-pasar raya seluruh dunia untuk memboikot pembekal yang terlibat dalam aktiviti penebangan hutan.


Sementara itu, menurut laporan, terdapat beberapa faktor yang menjadi penyebab kepada aktiviti penebangan hutan di Amazon.


Antaranya adalah permintaan kukuh global bagi komoditi pertanian seperti daging dan kacang soya, sekali gus, membawa kepada aktiviti penebangan hutan secara haram.


Pemandangan dari udara menunjukkan kawasan di hutan Amazon yang ditebang secara berleluasa pada 15 September 2021. - Foto AFP.


EmoticonEmoticon