Sabtu, 1 Januari 2022

Tupai liar 'mengganas' cederakan berpuluh penduduk di Wales


Penduduk di pekan Buckley, Flintshire di Wales, minggu lalu panik selepas seekor tupai mengganas selama 48 jam, menyebabkan puluhan orang mengalami kecederaan diserang haiwan itu, lapor Daily Mail pada 28 Disember 2021.


Tupai itu menyerang penduduk di kawasan itu termasuk pesara, kanak-kanak dan haiwan peliharaan. 18 individu dilaporkan mengalami luka di tangan selepas digigit dan dicakar oleh tupai yang digelar sebagai Stripe, iaitu watak jahat dari filem popular, The Gremlins.


Walau bagaimanapun, haiwan itu akhirnya berjaya ditangkap menerusi perangkap yang dipasang oleh Corrine Reynolds, 65, sebelum diserahkan kepada Persatuan Diraja Pencegahan Kekejaman terhadap Haiwan (RSPCA).


RSPCA mengesahkan tupai itu ditidurkan kerana terlalu bahaya untuk dilepaskan semula ke habitat liar. Kata Reynolds, dia mengambil tindakan menangkap tupai itu selepas tangannya digigit, walaupun berusaha menjinakkannya.



"Saya perhatikan tupai itu dalam tempoh 48 jam sebelum memasang perangkap. Namun dalam tempoh itu, haiwan itu menyerang 18 penduduk.


"Stripe mula menyerang penduduk yang hanya membawa beg kitar semula mereka ke tong sampah sehingga menyebabkan mereka mengalami kecederaan yang mengerikan," katanya.


Menurut Corrine, sebelum ini dia memberi makan haiwan itu sejak musim panas lalu, apabila tupai itu sering datang ke kebunnya untuk mencari makanan. "Dia bukan tupai yang mesra, saya takut," katanya.


"Saya mula tertanya-tanya sama ada dia mempunyai sesuatu yang berlaku di dalam kepalanya seperti tumor. Dia berlari laju dari bumbung kemudian melompat ke arah saya - tetapi apabila dia melakukannya pada orang lain, dia menggigit mereka.


"Ia juga telah menggigit seorang warga emas di kawasan itu. Pada satu ketika ia mengejar seorang budak di jalan raya dan seorang lelaki ditinggalkan dengan luka berdarah di kepalanya," katanya.


Seorang pekerja rumah jagaan dan anak perempuannya turut mengalami luka berdarah selepas diserang tupai tersebut, ketika mereka bertukar hadiah pada malam krismas.


Jane Harry, 55, ketika dia mengunjungi rumah anak perempuannya di Buckley pada waktu petang, seekor tupai tiba-tiba melompat ke arah mereka dan menggigit anak perempuannya Chloe, 29, di leher dan tangan.


"Tupai itu berlari ke atas kaki anak perempuan saya dan mula berlari mengelilingi kepalanya, saya sedang ketawa pada masa itu. Beberapa saat seterusnya, anak perempuan saya menjerit, 'tupai telah menggigit saya!'


"Ia pergi ke lehernya dan ketika dia cuba melepaskan tupai itu, dia menggigitnya di antara jari. Gigitan itu menyebabkan jarinya berdarah dan saya mula panik. Tupai itu kemudian berlari ke arah saya dan menggigit lengan saya tiga kali.


"Ia benar-benar pelik. Malam krismas kami dihabiskan di hospital menerima suntikan tetanus. Saya masih menggunakan antibiotik hingga sekarang. Saya seakan tidak percaya kekacauan yang dibuatnya pada lengan saya," kata Jane.


Menurut Chloe, beberapa hari kemudian, tupai berwarna kelabu itu datang semula ke rumahnya. Haiwan itu berlari di sepanjang pagar dan cuba masuk ke dalam rumah mereka.


Corinne Reynolds, 65, bergambar dengan tupai itu sebelum haiwan itu mula mengganas di Wales. Gambar kiri menunjukkan jarinya digigit tupai tersebut. - Foto Corinne Reynolds.

Scott Felton, 34, berkongsi beberapa gambar di media sosial memaparkan jarinya yang cedera digigit tupai tersebut. - Foto Scott Felton.


EmoticonEmoticon