Ahad, 16 Januari 2022

Tersalah bayar bil elektrik ke akaun lain sejak 6 tahun lalu, wanita menanggung hutang RM22,800


Seorang wanita di Knightswood, Glasgow, Scotland, terpaksa menanggung hutang bil elektrik sebanyak 4,000 pound sterling (kira-kira RM22,800) selepas tersalah bayar ke akaun lain, lapor akhbar The Sun pada 14 Januari 2022.


Lesley Hill, 43, terdiam selepas diberitahu dia terhutang besar kepada syarikat tenaga elektrik Scottish Power, dia turut didakwa menggunakan elektrik secara haram walaupun membuat pembayaran secara tambah nilai setiap minggu sejak enam tahun lalu.


Namun, bayaran itu dikatakan tidak diterima oleh syarikat pembekal tenaga elektrik tersebut. Dia mendakwa bayaran tambah nilai elektrik itu mungkin masuk ke dalam akaun lain.


"Mungkin meter saya sebenarnya didaftarkan ke premis lain. Jadi, ini bermakna selama beberapa tahun, wang yang saya belanjakan untuk elektrik telah pergi ke tempat lain.


"Setiap kali saya memasukkan wang ke dalamnya, ia terus ke alamat lain yang didaftarkan, bukan Scottish Power. Saya sentiasa menangis dan berasa seolah-olah saya sedang bertarung dengan kekalahan.


"Ia 'bermain' dalam otak saya 24 jam sehari dan saya sentiasa memikirkan bagaimana ia boleh diselesaikan, ia membuatkan saya tidak sihat. Seluruh keadaan adalah pelik - ke mana wang tunai saya pergi?" katanya kepada Glasgow Times.


Ibu tunggal itu menukar cara bayaran daripada bulanan kepada tambah nilai sejak 2015 selepas berpisah dengan suaminya. Jurutera dari syarikat tersebut kemudian memasang 'meter pembayaran' di rumahnya.


Bayaran yang dibuat secara konsisten dan meter elektrik berfungsi dengan baik untuk tempoh setahun saja. Selepas itu, dia mula menerima surat tuntutan hutang daripada syarikat penyediaan perkhidmatan.


"Saya kemudian membayar hutang itu secara ansuran namun terus menerima surat tuntutan hutang, mereka juga menghubungi saya untuk menuntut hutang, sedangkan saya menggunakan meter tambah nilai," katanya.


Menurut Hill, ketika dia mempersoalkan bilnya, Scottish Power memberitahunya bahawa mereka tidak mempunyai rekod pembayaran daripadanya sejak 2016.


Kes itu kini disiasat oleh pengawas penyedia tenaga, Ombudsman; "Kes ini dalam siasat Ombudsman tenaga, dan kami sedang bekerjasama dengan mereka (Scottish Power) dan Cik Hill untuk menyiasat kesnya dan mencapai penyelesaian yang semua pihak berpuas hati."


Menurut Hill, mereka mengatakan akan menyelesaikan masalahnya dalam tempoh terdekat, namun sehingga kini dia mendakwa masih menerima bil pembayaran dan Scottish Power mahu dia melangsaikan segera hutang itu.


Lesley Hill menanggung hutang bil elektrik sebanyak kira-kira RM22,800 kerana tersalah bayar ke akaun lain sejak 6 tahun lalu. - Foto The Sun.


EmoticonEmoticon