Jumaat, 28 Januari 2022

Teleskop 'membongkar misteri Alam Semesta' tiba di destinasi yang berjarak 1.6 juta kilometer dari Bumi


Teleskop Angkasa Lepas James Webb dilaporkan tiba di destinasinya yang terletak kira-kira 1.6 juta kilometer (km) dari Bumi. Kejayaan itu dilihat sebagai satu peristiwa penting dalam misinya untuk mengkaji sejarah kosmik.


Perkara itu dimaklumkan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) pada 24 Januari 2022 lalu. Bill Nelson, pentadbir NASA menerusi satu kenyataan berbangga dengan pencapaian tersebut.


"Kami kini selangkah lebih dekat untuk membongkar misteri alam semesta. Malah, saya juga tidak sabar untuk melihat pemandangan pertama Webb mengenai alam semesta pada musim panas ini," katanya.


Pada pukul 2 petang (Waktu Timur), teleskop itu melancarkan pendorongnya selama lima minit untuk sampai ke titik Lagrange L2, yang mana ia akan mempunyai akses kepada hampir separuh langit pada bila-bila masa.


Webb akan memulakan misi sainsnya menjelang musim panas, yang termasuk menggunakan instrumen inframerah resolusi tinggi untuk melihat kembali pada masa 13.5 bilion tahun ke generasi pertama galaksi yang terbentuk selepas Big Bang.


Di ruang angkasa tersebut, ia akan kekal sejajar dengan Bumi ketika bergerak mengelilingi Matahari. Ini sekali gus membolehkan perisai Webb melindungi peralatan sensitifnya daripada sinaran cahaya dan haba.


Teleskop yang dinamakan sempena nama bekas pengarah NASA itu dilancarkan ke angkasa lepas dengan menggunakan roket Ariane 5, dari Guiana Perancis pada 25 Disember 2021.


Webb, yang dijangka menelan belanja hampir AS$10 bilion (RM56.43 bilion), merupakan salah satu platform saintifik paling mahal yang pernah dibina, setanding dengan Large Hadron Collider di CERN, dan teleskop sebelum ini, Hubble. - Sumber PHYS. 


BACA: Roket Bawa Teleskop Paling Berkuasa Di Dunia Melintasi Malaysia Menuju Ke Ruang Angkasa.


Teleskop Angkasa James Webb telah tiba di destinasi terakhir dalam misi untuk membongkar misteri Alam Semesta. - Foto NASA.


EmoticonEmoticon