Sabtu, 8 Januari 2022

Tapak kaki dinosaur berusia lebih 200 juta tahun ditemukan di pantai Wales


LONDON - Fosil tapak kaki dinosaur yang ditemukan di sebuah pantai di Wales dipercayai berusia lebih 200 juta tahun, kata pakar selepas mereka selesai melakukan penyelidikan.


Memetik lapor CNN pada 2 Januari 2022, ahli paleontologi dari Natural History Museum di London memaklumkan tapak kaki dinosaur itu berasal dari zaman Triassic.


Malah, pakar percaya penemuan tapak kaki itu dari spesies Saurapod atau kumpulan Saurapod yang paling awal.


"Kami tahu spesies awal Saurapod wujud di Britain pada masa itu kerana tulang Camelotia (spesies yang paling awal) ditemukan di Somerset pada tempoh sama.


"Kami tidak pasti sama ada spesies ini meninggalkan jejak kaki tersebut, namun ia merupakan petunjuk haiwan seperti ini boleh melakukannya," kata ahli paleontologi, Dr. Susannah Maidment yang terlibat dalam penyelidikan tersebut.


Gambar 3D tapak kaki yang ditemukan di sebuah pantai di Wales. - Foto CNN.

Sebelum ini, Maidment dan rakan sekerjanya, Prof. Paul Barrett menerima gambar tapak kaki yang ditemukan di pantai di Penarth oleh ahli paleontologi amatur pada 2020.


Pada mulanya, mereka ragu-ragu dengan penemuan itu. Mereka kemudian pergi ke lokasi penemuan itu untuk melakukan penyelidikan dan mendapati kesan tapak kaki itu milik kumpulan spesies dinosaur paling awal.


Kata Barrett, penemuan itu juga boleh mendedahkan maklumat tentang tingkah laku dinosaur, seperti cara mereka berjalan, dan mengembara dalam kumpulan.


"Rekod mengenai dinosaur Triassic di negara ini (UK) tidak banyak, jadi apa sahaja yang kami temui daripada zaman itu menambah kepada gambar kami tentang apa yang berlaku pada masa itu," katanya.


Penyelidik mendapatkan bukti yang mencukupi untuk membuat kesimpulan bahawa jejak kaki itu sebenarnya adalah tapak kaki dinosaur dari zaman Triassic. - Foto CNN.


EmoticonEmoticon