Isnin, 3 Januari 2022

Rekod Terbaharu 'Matahari Buatan' China 5 Kali Ganda Lebih Panas Dari Matahari Sebenar Diuji Pada Suhu 70 Juta Darjah Celsius


Sistem 'matahari buatan' yang dibangukan China beroperasi selama 20 minit pada suhu mencecah 70 juta darjah Celsius, dalam satu percubaan eksperimen terbaharunya, lapor akhbar The Sun pada 1 Januari 2022.


Penyelidik menjalankan ujian itu di Eksperimen Lanjut Pengalir Lampau Tokamak (EAST), kemudahan reaktor gabungan nuklear, untuk menjadikan sistem pemanasan tambahannya lebih panas dan tahan lama, lapor Berita Xinhua.


Ia menggunakan gas hidrogen dan deuterium sebagai bahan api - suhu tersebut adalah lima kali ganda lebih panas daripada matahari biasa, yang mencatatkan kira-kira 15 juta darjah Celsius pada bahagian terasnya. 


Seorang penyelidik dari Institut Plasma Fizik Akademi Sains China, Gong Xianzu berkata, 'matahari buatan' itu beroperasi pada suhu 70 juta darjah Celsius selama 17 minit dan 36 saat.


"Operasi terbaharu itu menghasilkan asas saintifik dan eksperimen yang kukuh dalam memulakan reaktor pelakuran," katanya.


Xianzu bertanggungjawab ke atas penyelidikan terbaharu di EAST, yang terletak di Institut Sains Fizikal Hefei di wilayah Anhui. Eksperimen terbaharu yang bermula pada Disember lalu itu dijangka berakhir pada Jun 2022 depan.


Direka dan dibangunkan oleh China, EAST sejak 2006 telah digunakan oleh para saintis dari seluruh dunia untuk menjalankan eksperimen-eksperiman berkaitan pelakuran.


Sejak itu, lebih 10,000 penyelidik saintifik China dan antarabangsa bekerjasama untuk merealisasikan projek 'matahari buatan' itu. China telah membelanjakan kira-kira £701 juta (RM3.32 bilion) untuk projek tersebut.


Saintis-saintis berharap agar mesin tersebut dapat memanfaatkan kuasa pelakuran nuklear, yang akan menghasilkan tenaga bersih tanpa batasan dengan meniru tindak balas yang kebiasaannya berlaku di dalam matahari.


"Percubaan terbaharu sekali lagi mencabar rekod dunia. Kami telah mengesahkan teknologi secara menyeluruh, memacunya sebagai langkah besar ke hadapan daripada penyelidikan asas kepada aplikasi kejuruteraan," kata Pengarah Institut Fizik Plasma Song Yuntao.


Menurut Song Yuntao, pada bulan Mei 2022 nanti, EAST akan mencapai satu lagi pencapaian, berjalan pada suhu plasma atau gas panas - 120 juta darjah Celsius selama 101 saat. Beliau berharap dapat menjana kuasa menjelang 2040.


"Lima tahun dari sekarang, kami akan mula membina reaktor gabungan kami, yang memerlukan pembinaan 10 tahun lagi. Selepas itu dibina, kami akan membina penjana kuasa dan mula menjana kuasa sekitar 2040," jelasnya.


Dua cabaran utama ialah mengekalkan suhu melebihi 100 juta darjah Celsius dan beroperasi pada tahap yang stabil untuk masa yang lama, lapor berita Xinhua.


Seorang saintis sedang bekerja di dalam EAST di Anhui. - Foto Xinhua.


EmoticonEmoticon