Selasa, 4 Januari 2022

Polis pecah tingkap kereta kerana patung disangka bayi, terpaksa bayar ganti rugi RM1,243


Tindakan dua anggota polis yang memecah cermin tingkap kereta milik seorang wanita, kerana menyangka dia meninggalkan bayi tanpa pengawasan akhirnya sia-sia kerana 'bayi' itu sebenarnya adalah sebuah anak patung, lapor Daily Mail pada 31 Disember 2021.


Amy McQuillen, 36, ketika kejadian sedang membeli-belah bersama anak perempuannya, Darci McQuillen, 10, apabila polis menerima laporan yang menyatakan bahawa terdapat seorang 'bayi' ditinggalkan di dalam kereta miliknya. 


Sebelum meninggalkan kereta, Darci bertindak mengikat anak patungnya, yang dia namakan Elliot berharga £60 (RM282) itu pada kerusi kereta sorong bayi.


Sekembalinya mereka kira-kira 15 minit kemudian, Amy 'disambut' dua pegawai polis yang berdiri di sebelah kereta jenama Nissan Qashqai miliknya dalam keadaan cermin pecah.



Situasi bertambah serius apabila salah seorang pegawai polis cuba menahannya dengan menggari tangannya, dan bertanya kepadanya adakah dia meninggalkan seorang 'bayi' dalam kereta tanpa pengawasan, lapor laman berita Teeside Live.


"Mereka menggari tangan kanan saya. Saya memberitahu mereka bahawa ia merupakan anak patung, lalu mereka membuka gari tersebut.


"Saya tidak tahu sama ada ingin menangis atau ketawa. Namun, saya juga mungkin bertindak sedemikian jika berada di tempat mereka kerana patung itu berada di kerusi bayi. Mereka memohon maaf selepas itu," jelasnya.


Polis memberitahu Amy bahawa mereka akan membayar ganti rugi £264 (RM1,243) untuk membaiki kerosakan pada tingkap keretanya.


Amy McQuillen mendakwa dikasari anggota polis yang cuba menyelamatkan anak patung yang disangka bayi di dalam kereta.


EmoticonEmoticon