Selasa, 11 Januari 2022

Pengikut ajaran 'flat Earth' percaya Bumi berbentuk donat dengan lubang 'gergasi' di tengahnya


Sebilangan pengamal ideologi 'Bumi mendatar' percaya bahawa planet ini berbentuk seperti donat yang mempunyai sebuah lubang besar pada bahagian tengahnya, lapor akhbar Daily Star pada 9 Januari 2022.


Menurut 'Teori Bumi Donat' yang dipercayai mereka, Bumi ini berbentuk seperti cincin atau dalam bahasa saintifik berbentuk 'torus', dan teori konspirasi ini semakin popular di kalangan pengikut tersebut.


Teori tersebut mula dikeluarkan oleh seorang pengamal ideologi itu, Dr. Rosenpenis dalam sebuah forum pada 2008, dan ia asalnya dikeluarkan sebagai satu bentuk gurauan.


"Saya menggunakan perisian akademik astrofizikal profesional bagi membina sebuah model Bumi berbentuk donat dengan ruang angkasa yang 'enak' dan Bumi yang disaluti dengan 'gula'," katanya.


Gurauan itu bagaimanapun berkembang menjadi satu idea yang dipercayai dengan sebilangan pengikut mendakwa, bahawa manusia tidak dapat melihat lubang pada bahagian tengah Bumi disebabkan cara cahaya membengkok.


Sementara itu, dalam forum yang sama pada 2012, seorang lagi pengamal ideologi tersebut yang dikenali sebagai Varaug berkata, dia percaya bahawa Bumi berbentuk seperti donat (torus), namun disebabkan cahaya berada dalam bentuk melengkung, keadaan itu sukar dijelaskan.


Varaug mengembangkan ideanya, dengan alasan bahawa cahaya mengikuti lengkung torus, menjadikan lubang itu 'tidak dapat dilihat'. Ketika ditanya mengapa tiada siapa yang pernah jatuh ke dalam lubang Bumi, Varaug meminta ahli forum lain untuk menganggap Bumi sebagai 'donat jem', dengan graviti bekerja ke arah jem.


Varaug juga berpendapat bahawa siang dan malam masih berlaku kerana Bumi berbentuk donat melengkapkan revolusi setiap 24 jam, dengan lubang pada sudut 90 darjah terhadap Matahari.


Pengikut 'flat Earth' lain juga membuat spekulasi bahawa bentuk torus terbentuk oleh tarikan graviti batu dan habuk serta cebisan bahan angkasa bersama-sama ke orbit tanpa titik fokus pusat, dengan berkesan mencipta planet berbentuk cincin berputar di sekeliling tiada - lubang.


Para saintis telah menyelar teori itu, menjelaskan bahawa Matahari tidak boleh terbit atau terbenam seperti yang berlaku jika Bumi mempunyai lubang ternganga di tengah, dan kita juga tidak akan mengalami siang dan malam seperti yang kita alami sekarang.


Pengikut ajaran 'Bumi mendatar' menolak fakta yang menyatakan bahawa Bumi berbentuk sfera. - Foto Getty.


EmoticonEmoticon