Selasa, 25 Januari 2022

Pancaran cahaya emas bersinar selama 3 jam di Turki gemparkan penduduk tempatan

Gambar Hiasan.

Penduduk sebuah perkampungan di Turki terkejut apabila menyaksikan satu kejadian pancaran cahaya terang yang luar biasa berterusan selama tiga jam, lapor akhbar Daily Star UK pada 23 Januari 2022.


Pancaran cahaya berwarna emas berkilauan itu dilihat bersinar di laluan Genting Zigana iaitu kawasan pergunungan di wilayah Gumushane, berhampiran sempadan dengan Wilayah Trabzon di timur laut Turki.


Fenomena yang jarang ditemui itu dirakam dari pusat ski Zigana Gumuskayak pada ketinggian 2,100 meter dari paras laut. Mereka yang merakamnya mendakwa bahawa cahaya keemasan itu bersinar selama kira-kira tiga jam.


Jurucakap pusat ski berkenaan, Abdullah Eroglu berkata, dia tidak pernah menyaksikan mana-mana kejadian serupa di kawasan itu sebelum ini.


"Pengunjung hari ini disifatkan bertuah kerana berpeluang melihat pemandangan paling menakjubkan. Pancaran cahaya itu memancar ke arah lereng Zigana untuk satu tempoh yang lama.


"Pekerja di sini juga merakam adegan itu dengan telefon bimbit masing-masing. Ia seperti babak dalam filem sains fiksyen," katanya.


Pancaran cahaya adalah konsep biasa dalam filem sains fiksyen terutama dalam babak-babak melibatkan UFO. Ia sering dilihat turun dari kapal angkasa asing untuk mengangkat orang di atas tanah masuk ke dalam UFO.


Bagaimanapun, saintis-saintis mengatakan bahawa pancaran cahaya tersebut dikenali sebagai sinar Crepuscular yang berasal dari perkataan Latin 'crepusculum' dan bermaksud senja.


Fenomena seumpama ini biasanya hanya kelihatan pada waktu matahari terbit dan terbenam, kerana pada masa inilah perbezaan antara terang dan gelap paling ketara.


Fenomena cahaya memancar dari langit yang sempat dirakam oleh penduduk di Turki. - Foto CEN.


EmoticonEmoticon