Jumaat, 7 Januari 2022

NASA berjaya rakam ribut besar di Musytari yang boleh 'telan' Bumi

Gambar ilustrasi planet Musytari. - Foto NASA.

Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) telah menyiarkan gambar menakjubkan dua ribut besar yang melanda Musytari di akaun Instagramnya, lapor akhbar The Sun pada 5 Januari 2022.


Gambar memaparkan ribut yang begitu besar itu telah mendapat lebih satu juta tanda suka di akaun Instagram tersebut. Gambar itu dirakam pada pada 29 November 2021 oleh kapal angkasa pengorbit planet, Juno milik NASA.


Skala tepat kedua-dua ribut itu tidak diketahui tetapi pakar berpendapat bahawa salah satu ribut adalah sangat besar sehingga boleh memuatkan Bumi di dalamnya.


"Dua ribut berputar yang besar sedang berlaku di permukaan Musytari dalam imej yang dirakam oleh perakam cahaya @NASASolarSystem Juno, JunoCam di laluannya yang ke-38 pada ketinggian kira-kira 6,140 kilometer," kata NASA.


Gambar yang dirakam oleh kapal angkasa pengorbit planet NASA, Juno itu menunjukkan dua ribut gergasi di Musytari. - Foto NASA.

"Awan terang yang timbul di atas mewujudkan bayang-bayang pada tebing ribut yang lebih rendah daripadanya. Ribut di bawah lebih besar daripada yang di atas, awan ini biasanya sepanjang 50 kilometer," jelas pihak tersebut.


Juno ialah kapal pengorbit planet NASA yang melakukan perjalanan paling jauh. Ia sebenarnya telah menyelesaikan misi awalnya pada 2016 tetapi kini dalam misi lanjutan untuk memerhati dan mengambil gambar.


Musytari merupakan planet terbesar dalam sistem suria dan mempunyai sebanyak 80 bulan yang berputar sebagai objek satelit semula jadi. Planet ini dilanda ribut yang berterusan yang paling terkenal dipanggil 'Tompok Merah Besar'.


BACA: Kapal Angkasa NASA Berjaya Rakam Bunyi 'Pelik' Dari Ganymede, Bulan Terbesar Planet Musytari.


Tompok Merah Besar di Musytari, ini memberikan gambaran mengenai ukuran ribut besar di planet itu. - Foto NASA.


EmoticonEmoticon