Ahad, 16 Januari 2022

Letusan gunung berapi dasar laut kedengaran lebih 800 kilometer jauhnya cetuskan tsunami


Letusan gunung berapi dasar laut di Pasifik Selatan pada Sabtu mencetuskan gelombang tsunami ke negara Tonga berdekatan utara Jepun, selain amaran gelombang laut berbahaya dikeluarkan sejauh pantai barat Amerika Syarikat (AS).


Menurut pegawai di Suva City, letusan terbaru gunung berapi itu terlalu kuat sehingga kedengaran seperti guruh di Fiji, lebih 800 kilometer jauhnya. Ia mula memuntahkan abu, debu dan asap sejak pagi Jumaat lalu.


Imej satelit menunjukkan letusan gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha'apai yang panjang dan bergemuruh menyebabkan kepulan asap kelihatan seperti cendawan besar, selain abu bertebaran ke udara merentasi perairan sekitarnya.


Gelombang tsunami berukuran 1.2 meter berlaku di ibu negara Tonga, Nuku'alofa yang terletak 65 kilometer dari gunung berapi tersebut, menurut Biro Meteorologi Australia.



Agensi Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran tsunami setinggi 3 meter mungkin melanda beberapa pulau di barat daya Jepun. Di Fiji, penduduk juga diminta supaya menutup tangki pengumpulan air sekiranya berlaku hujan berasid.


"Gelombang ombak setinggi 1.2 meter sudah sampai ke pulau terpencil di selatan Amami Oshima dan kawasan lain di sepanjang pantai Pasifik Jepun dengan ombak yang lebih kecil," kata agensi itu.


Penduduk di Tonga, Mere Taufa berkata, ketika kejadian dia bersiap-siap untuk makan malam di rumahnya sebelum gunung berapi di dasar laut itu meletus sehingga menyebabkan air melimpah ke rumahnya.


"Ia sangat besar, tanah bergegar, rumah kami bergegar. Ia datang dalam gelombang. Adik saya menyangka bom meletup di kawasan berhampiran," kata Taufa kepada laman web berita Stuff.


Dia berkata, air memenuhi rumah mereka beberapa minit kemudian dan dia melihat dinding rumah jiran runtuh.


"Kami tahu ia adalah tsunami apabila air mencurah masuk ke dalam rumah kami. Kamu mendengar jeritan di mana-mana, orang menjerit supaya semua pergi ke tempat yang lebih tinggi," katanya.


Letusan gunung berapi itu berlangsung sekurang-kurangnya lapan minit dan menyebabkan kepulan gas, abu dan asap bertebaran beberapa kilometer ke udara.


Susulan itu, amaran tsunami dikeluarkan untuk Samoa Amerika, New Zealand, Fiji, Vanuatu, Chile dan Australia yang mana pihak berkuasa berkata, sebahagian kawasan pantai, termasuk di Sydney, mungkin dilanda tsunami.


Amaran tsunami juga sudah dikeluarkan untuk seluruh pantai barat AS - dari California hingga ke kepulauan Aleutian Alaska, manakala gelombang tsunami mencetuskan banjir kecil di Hawaii, menurut Pusat Amaran Tsunami Pasifik.


"Tsunami sedang berlaku. Ingat, gelombang pertama mungkin tidak begitu besar. Beralih dari pantai dan menuju ke tanah tinggi," kata Pusat Amaran Tsunami Kebangsaan AS.


Rakaman yang dikongsi di media sosial menunjukkan gelombang ombak kira-kira 0.3 meter melimpah masuk ke pantai di Oregon.


Ketua Perkhidmatan Geologi Tonga, Taaniela Kula pula menggesa orang ramai tinggal di dalam rumah, memakai topeng jika mereka berada di luar dan menutup takungan air hujan dan sistem penuaian air hujan.


Kapal karam dipercayai akibat tsunami di Muroto, Kochi, Jepun. - Foto Reuters/Kyodo.

Foto tular menunjukkan tsunami di pantai Tonga. - Foto Twitter.


EmoticonEmoticon