Seorang lelaki di Thailand telah menarik perhatian pengguna laman sosial selepas mendedahkan bahawa dia tinggal bersama lapan isteri mudanya, yang kesemuanya sangat mesra antara satu sama lain, lapor laman berita Oddity Central pada 28 Januari 2022.
Ong Dam Sorot, seorang artis seni tatu yang pakar dalam gaya yantra tradisional, baru-baru ini menghadiri satu temu bual yang diacarakan oleh seorang pelawak Thailand, mengenai status perkahwinannya yang kontroversi.
Sorot berkahwin bukan dengan seorang wanita, tetapi dengan lapan orang, dan tinggal bersama kelapan-lapan isterinya dibawah satu bumbung yang menganggap diri mereka sebagai sebuah keluarga besar yang bahagia.
Menerusi rancangan yang sehingga kini mencecah tiga juta tontonan di Youtube itu, Sorot memperkenalkan setiap seorang isterinya dan bercakap mengenai cara mereka bertemu.
Kesemua isterinya menyifatkan suami mereka sebagai lelaki paling baik dan paling bertimbang rasa di dunia. Isteri-isterinya juga mengaku bergaul dengan baik sesama mereka.
Lelaki itu bertemu isteri pertamanya, Nong Sprite di majlis perkahwinan rakannya lalu dengan cepat meminta untuk dikahwinkan. Isteri kedua, Nong L bertemu dengannya di pasar, manakala isteri ketiga Nong Nan pula di hospital.
Sorot bertemu dengan isteri keempat, kelima dan keenamnya menerusi media sosial iaitu masing-masing di Instagram, Facebook dan TikTok. Isteri ketujuh, Nong Film pula ditemui semasa melawat kuil Phra Pathom Chedi bersama ibunya, dan isteri kelapan Nong Mai, bertemu dengannya ketika dia bercuti di Pattaya bersama empat isterinya.
Dua daripada isterinya kini hamil dan dia sudah memiliki seorang anak lelaki daripada isteri pertamanya. Lapan isterinya tidur di dalam empat bilik tidur dengan dua orang dibahagikan dalam setiap satu bilik. Kesemua isterinya dikatakan tidak mempunyai masalah untuk menunggu suami mereka bergilir tidur di dalam empat bilik tidur tersebut.
Kata Sorot, orang ramai selalu menganggapnya kaya dan mampu untuk menjaga keluarga besarnya, tetapi dia mendakwa perkara itu tidak benar. Setiap ahli keluarganya mempunyai kewajipan masing-masing untuk memperoleh pendapatan.
Isteri-isterinya memperoleh pendapatan dengan melakukan kerja-kerja seperti menjual pelbagai produk, ada yang menjual makanan, kosmetik dan aksesori buatan tangan.
Pengaturan hidup Sorot mencetuskan perdebatan hangat di media sosial, dengan beberapa pengguna menyatakan kekaguman mereka terhadap artis seni tatu itu, kerana berkongsi satu rumah dengan kelapan-lapan isterinya dan hidup bahagia.
EmoticonEmoticon