Khamis, 27 Januari 2022

Lelaki jadi jutawan segera lepas jumpa syiling emas berusia lebih 700 tahun


Seorang pakar pengesan barang logam menjadi kaya sekelip mata selepas menemukan satu daripada kepingan syiling emas pertama England, yang dijual pada harga 648,000 pound (RM3.7 juta) dalam acara lelongan, lapor Daily Mail pada 24 Januari 2022.


Syiling emas yang memaparkan gambar Raja Henry III itu sekali gus mencipta rekod dunia baharu, sebagai syiling Inggeris Zaman Pertengahan paling berharga yang pernah dijual dalam acara berkenaan.


Michael Leigh-Mallory menemukan syiling emas itu menerusi alat pengesan logamnya di sebuah tanah ladang di Hemyock, Devon pada September tahun lalu. Syiling emas yang berasal dari sekitar tahun 1257 itu dilaporkan berukuran kurang daripada 2.5 sentimeter.


Dilaporkan, hanya terdapat lapan keping syiling itu yang berjaya dikesan setakat ini, dengan kebanyakannya disimpan di muzium. Malah, syiling emas ini dianggap sebagai yang pertama ditemukan dalam tempoh 260 tahun.


Leigh-Mallory tidak menyedari nilai luar biasa syiling itu sehingga memuat naik beberapa gambar dalam Facebook sebelum dibubungi firma lelongan, Spink & Son dari London.



"Ia bukan sahaja menjadi syiling tunggal paling berharga yang ditemui dalam sejarah British, tetapi juga syiling Inggeris Zaman Pertengahan paling berharga yang pernah dijual di acara lelongan," kata Gregory Edmund, pakar di Spink & Son.


Menurut pakar, permukaan syiling Raja Henry III itu memaparkan potret 'sebenar' seorang Raja Inggeris di atas takhtanya sejak era William the Conqueror.


Harga syiling itu mencecah 540,000 pound (RM3.04 juta) dan bayaran tambahan menjadikan jumlah terakhir dibayar oleh pembeli warga Britain adalah sebanyak 648,000 pound.


Dilaporkan, Leigh-Mallory mengatakan akan membelanjakan hasil jualan itu untuk masa depan anak-anaknya, dan 50 peratus hasil dari jualan tersebut telah diberikan kepada pemilik tanah.


Syiling itu ditemui di sebuah ladang di Hemyock, Devon, sebuah penempatan zaman pertengahan yang terkenal dengan istananya (gambar). - Foto Daily Mail.

Michael Leigh-Mallory menemukan syiling emas pertama England. - Foto Spink & Son.


EmoticonEmoticon