Seorang peminat kajian mengenai makhluk asing mendakwa bahawa dia mengesan sebuah pangkalan makhluk asing sepanjang 25 kilometer (km) di permukaan Planet Marikh, lapor akhbar Daily Star pada 17 Januari 2022.
Scott C. Waring yang terkenal dengan teori anehnya tentang 'alien' dan UFO serta menggelar dirinya sebagai pakar makhluk asing berkata, NASA cuba menyembunyikan penemuan itu daripada orang ramai.
Dia menerusi akaun Twitter miliknya berkata, terdapat beberapa imej berwarna kelabu yang menonjolkan sebuah objek berbentuk segi empat tepat di permukaan planet tersebut.
"Saya menemui pangkalan sepanjang 25 km ini di Marikh yang terletak pada bahagian kanan Sulci Gordii. Namun, NASA tidak mahu perkara itu diketahui ramai," katanya.
Menurut Waring, pangkalan itu terletak berhampiran Sulci Gordii yang merupakan alur subparallel dan rabung batuan di Planet Marikh. Ia memberikan penjelasan munasabah bagi bentuk yang dikesan itu.
Lelaki itu sudah berulang kali mendakwa mengesan pelbagai fenomena atau objek luar biasa di angkasa lepas, termasuk ukiran wajah makhluk asing pada batuan di permukaan Marikh.
"Saya menjumpai wajah makhluk asing purba yang diukir di bahagian atas gunung. Ia menunjukkan profil sisi spesies makhluk asing yang hampir seperti manusia.
"Wajah itu dibina di sepanjang bukit dengan cara yang hampir menyerupai Gunung Rushmore di Amerika. Saya fikir ini sudah berusia lebih 100,000 tahun!
"Wajah ini memberi kita gambaran tentang rupa makhluk asing di Marikh. Bukti yang tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan pintar pernah wujud di permukaan Marikh," dakwanya.
EmoticonEmoticon