Isnin, 31 Januari 2022

Ketam merah gergasi yang boleh membesar sehingga 6 kaki muncul di perairan Britain


Spesies ketam merah gergasi dari Rusia dilaporkan mula membiak dengan banyak di perairan Britain, yang bukan sahaja menyebabkan kegembiraan, malah ketakutan dalam kalangan nelayan, lapor akhbar The Sun UK pada 28 Januari 2022.


Haiwan laut yang boleh membesar sehingga lebar 1.83 meter dan berat 12.7 kilogram itu dilaporkan muncul di luar pantai daerah Yorkshire.


Nelayan-nelayan teruja dengan kehadiran haiwan yang terkenal dalam kalangan tukang masak itu, namun khuatir spesies tersebut akan memakan semua kerang dan ketam coklat yang menjadi penghuni asal ekosistem kawasan itu. 


Spesies ketam dengan cengkerang atasnya yang keras itu sebenarnya berasal dari Amerika Utara. Saintis-saintis memperkenalkan spesies tersebut di Rusia pada tahun 1960-an yang seterusnya berkembang di Laut Artik.


Tidak lama kemudian, spesies itu berkembang ke Norway dan mencetuskan satu lagi ledakan bagi aktiviti memancing. Kini, spesies itu mula berada di perairan Britain yang belum pernah ditemui dalam jumlah yang begitu besar sebelum ini.



Seorang pembekal ikan, Shaun Henderson memaklumkan bahawa salah seorang nelayannya berjaya menangkap sebanyak 40 ekor ketam merah gergasi di perairan Yorkshire.


Shaun yang merupakan pembekal kepada 80 buah restoran berkata, keluarganya telah memancing selama dua generasi tetapi tiada seorang pun yang pernah menangkap ketam merah gergasi sebelum ini.


Walaupun Shaun teruja dengan tangkapan baru itu, katanya, dia juga 'berwaspada' kerana spesies itu kelihatan invasif - memakan kerang dan ketam perang yang membuatkan dia bimbang tentang makanan laut yang berasal dari Britain.


Beliau berkata, walaupun hasil dari tangkapan ketam gergasi telah menghasilkan banyak wang kepada nelayan di Norway, tetapi pada masa yang sama telah mengurangkan populasi makhluk laut lain.


Will Murray, ketua chef di restoran Fallow di St James's Market, tengah London, antara pembeli ketam tersebut turut mengatakan dia mempunyai 'perasaan bercampur baur' tentang 'kedatangan' ketam itu di Britain.


Ketam merah gergasi yang boleh membesar sehingga 1.83 meter itu telah ditangkap di perairan daerah Yorkshire. - Foto Alamy.


EmoticonEmoticon