Sabtu, 1 Januari 2022

'Hujan ikan' landa bandar di Texas, ahli meteorologi risau ada masalah besar


Cuaca buruk dan hujan di bandar Texarkana, Texas, pada 29 Disember lalu telah menyebabkan satu fenomena luar biasa iaitu 'hujan ikan' di bandar yang bersempadan dengan Arkansas itu, lapor laman berita Independent pada 31 Disember 2021.


Tom Brigham, pengurus Discount Wheel & Tyre memberitahu The Texarkana Gazette bahawa dia melihat ikan itu jatuh dari langit semasa ribut petir pada petang hari Rabu.


"Sebanyak 25 hingga 30 ekor ikan, kira-kira enam hingga tujuh inci panjang, bersepah di luar kawasan kedai saya, dan di kedai sebelah ikan itu kelihatan lebih banyak," katanya.



Kejadian itu turut dilaporkan berlaku di Stadium Tiger tempat pasukan bola sepak berlatih, dengan seorang pemain dilaporkan menendang seekor ikan yang ditemuinya berada di tepi garisan.


Beberapa foto dan klip video yang dimuat naik di media sosial oleh penduduk sekitar menunjukkan ikan-ikan jatuh dari langit ketika hujan. Biarpun kejadian itu berlaku dalam masa yang singkat, banyak ikan terdampar di halaman rumah dan kawasan tempat letak kereta perniagaan di bandar itu.


Menurut sebuah badan bukan kerajaan, National Geographic Society, fenomena 'hujan haiwan' berlaku apabila haiwan kecil seperti ikan, katak dan ketam terperangkap dalam aliran air naik atau puting beliung di kawasan perairan.


Haiwan-haiwan itu kemudiannya terjatuh di lokasi yang jauh bersama-sama dengan air hujan. Bagaimanapun, seorang pakar kaji cuaca dari Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan berkata, tiada laporan mengenai kejadian puting beliung di kawasan perairan berhampiran dikesan dalam radar semalam.


"Ini adalah satu masalah besar," kata seorang ahli meteorologi. Hujan haiwan adalah kejadian yang jarang berlaku, mungkin disebabkan itu saintis tidak pernah merekodkan fenomena ini secara rasmi.


Foto yang dikongsi penduduk tempatan menunjukkan ikan-ikan terdampar di halaman rumah dan kawasan letak kereta di Texas. - Foto JimWeaver.

Puluhan ekor ikan jatuh dari langit di kawasan bandar Texarkana pada 29 Disember 2021. - Foto KSLA.

Antara ikan yang jatuh dari langit ketika ribut petir melanda bandar Texarkana. - Foto The city of Texarkana.


EmoticonEmoticon