Kumpulan saintis sifatkan penemuan satu fosil 'naga laut' di Midlands sebagai kejayaan terbaik dalam sejarah paleontologi Britain, lapor akhbar Daily Mail pada 10 Januari 2022.
Fosil ichthyosaur yang dianggarkan berusia 180 juta tahun itu ditemukan dengan rangka sepanjang 10 meter dan tengkorak seberat satu tan. Rangka itu merupakan fosil lengkap paling besar pernah ditemukan di United Kingdom.
Fosil itu mula-mula ditemukan oleh Joe Davis, 48, dari Lercestershire ketika melakukan kerja-kerja mengeringkan sebuah lagun di kawasan perairan Rutland pada Februari 2021.
"Apabila ahli paleontologi dan pasukan kami menemui rangka penuh dan mengangkatnya keluar menggunakan traktor dengan pemuat, kepala rangka itu adalah sebesar saya, iaitu setinggi enam kaki. Ia adalah haiwan yang hebat," jelasnya.
Ichthyosaur digelar sebagai naga laut kerana memiliki gigi dan mata yang besar dan fosil pertama haiwan purba itu ditemukan oleh ahli paleontologi, Mary Anning pada awal abad ke-19.
Pakar paleontologi, Dr. Deam Lomax seorang pakar mengenai ichthyosaur dari Universiti Manchester yang menghabiskan 14 hari menggali fosil itu menyifatkan penemuan terbaharu itu paling menakjubkan.
"Walaupun banyak fosil ditemui di Britain, adalah luar biasa untuk terfikir bahawa Rutland ichthyosaur adalah rangka terbesar yang pernah ditemui di UK", jelasnya.
Ichthyosaur merupakan haiwan reptilia, dipercayai wujud kira-kira 250 juta tahun lalu dan pupus sejak 90 juta tahun lepas. Ia berbeza-beza dari segi saiz, iaitu dari satu hingga lebih 25 meter panjang dan menyerupai ikan lumba-lumba dalam bentuk badan fizikalnya.
Rangka itu telah digali oleh sepasukan pakar paleontologi dari UK pada Ogos dan September. Dua ichthyosaur yang tidak lengkap dan lebih kecil pernah ditemui semasa pembinaan awal Rutland Water pada tahun 1970-an. - Sumber Daily Mail.
EmoticonEmoticon