Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) meramalkan asteroid gergasi dengan saiz dua kali ganda lebih besar dari bangunan Empire State di New York, akan melintasi Bumi dengan jarak 1.93 juta kilometer pada kelajuan 69,201 kilometer sejam pertengahan bulan ini.
Lapor Daily Mail pada 31 Disember 2021, Asteroid 7482 (1994 PC1) bagaimanapun tidak menimbulkan ancaman kepada planet ini kerana ia akan berada lima kali lebih jauh jarak antara Bumi dan Bulan.
Pun begitu, menurut Pusat Kajian Objek Berdekatan Bumi (CNEOS) NASA, asteroid itu adalah objek yang berpotensi bahaya kerana melintasi orbit Bumi semasa mengelilingi Matahari.
Batu angkasa itu mempunyai ukuran 999 meter dan selepas menghampiri Bumi 18 Januari ini, kira-kira pukul 9.51 malam (waktu tempatan), batu angkasa itu tidak akan berada dekat dengan Bumi sehingga 2105.
Asteroid 1994 PC1 yang mengorbit Matahari setiap 1.5 tahun, pertama kali ditemukan pada 1994 oleh ahli astronomi, RH McNaught menggunakan balai Cerap Siding di Australia.
"Ia adalah asteroid jenis S berbatu biasa, dan setiap kali ia dekat dengan Bumi memberi peluang kepada ahli astronomi untuk mengkaji permukaan dan mengetahui lebih lanjut tentang batu angkasa purba ini," kata NASA.
Menurut agensi itu, kali terakhir asteroid itu dekat dengan Bumi pada tahun 1933, berada pada jarak 1.12 juta kilometer.
NASA dan agensi lain kerap menjejaki lebih daripada 28,000 asteroid yang diketahui mereka mengorbit Matahari, dan kadangkala melintasi orbit Bumi.
NASA berkata tiada asteroid yang diketahui dijangka berlanggar dengan Bumi pada masa terdekat ini, tetapi terdapat asteroid yang orbitnya tidak diketahui.
Dalam usaha untuk menangani ancaman asteroid yang mungkin suatu hari nanti akan melanggar Bumi, NASA membentuk program pertahanan planet, termasuk misi Ujian Pengalihan Asteroid Berganda (DART) yang dilancarkan pada November 2021 lalu.
Baca juga: NASA Lancar Kapal Angkasa Untuk Musnahkan Asteroid, Misi Persediaan Menghadapi Ancaman Sebenar.
EmoticonEmoticon