Selasa, 25 Januari 2022

Anglerfish, ikan laut dalam ditemui terdampar di tepi pantai cetus keresahan ramai


Seekor ikan dengan bentuk pelik dan menakutkan yang jarang dapat dilihat telah ditemui terdampar di Pantai Newport, California, oleh seorang lelaki ketika berjalan-jalan di pantai, lapor Live Science pada 18 Mei 2021.


Ini adalah kejadian luar biasa kerana ikan yang hanyut hingga ke pantai itu adalah salah satu makhluk yang tinggal di laut dalam dikenali spesies Anglerfish. Ia biasanya tinggal di kedalaman lebih dari 3,000 kaki di bawah permukaan laut.


Ben Estes, merupakan seorang nelayan terkejut apabila menemui hidupan laut itu pada awal bulan Mei 2021 lalu, dia kemudian memberitahu penjaga taman negara Crystal Cove State Park tentang ikan pelik berkenaan.


"Saya tahu ia adalah penemuan yang luar biasa, dan saya tidak pernah melihat ikan yang kelihatan seperti itu sebelum ini," kata Ben, seperti yang dilaporkan laman berita The Guardian.



Anglerfish Pasifik memiliki ciri-ciri yang unik kerana ia memiliki unjuran seperti joran pancing di atas kepalanya yang berfungsi sebagai umpan, dengan mengeluarkan cahaya bioluminescent untuk menarik mangsa dalam suasana laut dalam yang gelap.


Sekurang-kurangnya lebih daripada 200 spesies Anglerfish ditemui di seluruh dunia. Ikan yang ditemui terdampar itu telah dikenal pasti sebagai ikan laut dalam lautan Pasifik yang dikenali sebagai 'Footballfish', menurut Crystal Cove State Park.


Di samping itu, ramai yang resah bagaimana hidupan laut dalam itu boleh berakhir di tepi pantai dalam keadaan yang sempurna, kerana biasanya apabila hidupan liar lari dari habitatnya, sebabnya adalah kerana tempat tinggalnya tidak lagi selamat.


Crystal Cove State Park turut memaklumkan di akaun media sosial mereka bahawa spesimen yang luar biasa itu, telah dipindahkan ke Muzium Sejarah Los Angeles dan menjadi sebahagian daripada koleksi.


"Melihat ikan pelik dan memukau (anglerfish) ini adalah bukti kepelbagaian hidupan marin yang tersembunyi," tambah kakitangan Crystal Cove State Park dalam catatan mereka.


Keistimewaan ikan laut dalam ini adalah pada bahagian atas kepalanya memiliki unjuran seperti joran pancing yang panjang dan menonjol dengan mengeluarkan cahaya di hujungnya.


EmoticonEmoticon