Seorang wanita menemui satu objek dipercayai muntah ikan paus seberat lebih 5 kilogram ketika sedang memancing bersama keluarganya berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Marang, baru-baru ini.
Aida Zurina Long, 41, berkata, objek yang pada awalnya disangka sampah itu ditemukan terapung kira-kira pukul 11 malam, pada akhir bulan lalu.
"Saya menemui ketulan lilin yang dipercayai muntah ikan paus yang terapung kira-kira jam 11 malam itu ketika sedang memancing bersama keluarga pada akhir bulan lalu.
"Saya ingat sampah dan menarik objek itu menggunakan kayu ke tepi tebing. Keesokan harinya saya pergi semula ke kawasan itu dan mendapati benda itu masih ada sebelum mengambil keputusan untuk membawanya pulang ke rumah," katanya.
Aida Zurina berkata, sebaik menunjukkan objek itu kepada bapanya yang juga nelayan, dia terkejut apabila diberitahu ia adalah muntah ikan paus, dan mempunyai nilai yang tinggi.
"Apabila ayah cakap ini adalah muntah paus, memang saya tergamam dan terkejut. Saya segera membuat carian di internet mengenai ciri-ciri muntah ikan paus atau ambergris.
"Ayah cuba bakar objek itu dan memang benar ia cair seperti lilin, malah turut mengeluarkan bau yang sangat harum," katanya yang juga pengusaha sebuah kedai makan di Kemasik.
Tambahnya, dia bersedia untuk memberi kerjasama kepada mana-mana pihak untuk melakukan ujian bagi menentukan kesahihan dan kualiti terhadap objek yang ditemuinya itu.
"Saya juga tidak tahu muntah ikan paus ini adalah 'bahan' yang dicari dalam perusahaan minyak wangi, dan difahamkan ia amat jarang ditemui di negara kita," katanya.
Muntah ikan paus atau nama saintifiknya ambergris ditemui kali terakhir oleh seorang nelayan berusia 20 tahun di Pantai Niyom Surat Thani, Thailand, Februari lalu. Difahamkan ambergris tersebut dijual dengan harga 210,000 Pound (RM1.16 juta).
EmoticonEmoticon