Rabu, 8 Disember 2021

Sanggup Berlakon Cacat Untuk Dapatkan Parking OKU, Lelaki Dikecam Warganet


PETALING JAYA - Hanya kerana mahu mendapatkan parkir kereta di sebuah pusat membeli belah, seorang pemuda dipercayai sanggup 'berlakon' menjadi orang kurang upaya (OKU) mengundang kecaman pengguna media sosial.


Melalui video berdurasi 38 saat yang dikongsi semula di laman Twitter itu memaparkan, lelaki tersebut memaklumkan dia pada awalnya sukar untuk mendapatkan tempat meletak kereta kerana pengunjung terlalu ramai.


Bagaimanapun katanya, rakannya yang turut menaiki kenderaan sama mencadangkannya untuk meletakkan kenderaan di petak khas untuk OKU dan salah seorang daripada mereka perlu berlakon menjadi OKU.


"Aku ada dekat Mid Valley ni, tapi nak parking susah. Lepas itu, kawan cakap kalau nak dapat parking ada satu cara. Betul-betul dapat parkinglah, tapi cara dia pelik sikitlah. Betul-betul dia jadi cacat, ini kalau kantoi dengan pak guard ni memang mati. Tapi, betul-betul dapat parking," katanya.


Kelihatan salah seorang daripada mereka dipercayai dengan selambanya 'berlakon' menjadi OKU semata-mata mahu mendapatkan parkir dengan cara yang mudah.


Tinjauan di ruang komen mendapati, rata-rata pengguna media sosial mengecam tindakan lelaki itu yang didakwa menyalahgunakan kemudahan disediakan untuk golongan OKU.


"Kemudahan untuk OKU di Malaysia dah lah tak banyak. Lepas itu, masih ada yang salahguna dan memperlekehkan orang cacat? Memalukan," kata seorang pengguna.


"Nampak macam betul-betul cacat. Harap-harap memang betul, kalau tidak memang tak patutlah buat macam ini," kata netizen lain.


Sehingga kini, video tersebut telah ditonton hampir 23,000 kali dan kebanyakan netizen mengecam tindakan lelaki terbabit. Malah, tidak kurang juga ada di antara mereka berharap agar perbuatan seperti ini tidak menjadi ikutan orang ramai.


Tangkap layar rakaman tersebut yang tular di media sosial.


EmoticonEmoticon