Ahad, 26 Disember 2021

Remaja paling gemuk di dunia hilang 109kg selepas menjalani diet ketat selama 3 tahun


Seorang remaja yang pernah digelar sebagai budak lelaki paling gemuk di dunia, kini mampu menjalani kehidupan normal selepas hilang berat badan sebanyak 109 kilogram (kg), lapor akhbar The Sun pada 24 Disember 2021.


Arya Permana, 14, dari wilayah Jawa Barat, Indonesia, pernah mempunyai berat badan mencecah 191 kg ketika berusia 11 tahun, namun kini berat badannya menurun kepada 82 kg.


Saiz badannya yang amat besar membuatkan dirinya sukar untuk melakukan pelbagai perkara, termasuk perlu mandi menggunakan kolam di luar rumahnya kerana dia tidak dapat membasuh dirinya di bilik mandi.



Dia juga tidak dapat berjalan melebihi beberapa langkah kerana akan menyebabkannya menghadapi kesukaran untuk bernafas.


Keluarga Arya juga tidak dapat mencari pakaian yang boleh dipakai remaja tersebut, justeru, dia hanya memakai kain pelikat serta menghabiskan masa dengan memakan makanan ringan kerana tidak dapat bersekolah.


Bagaimanapun, dengan mengamalkan rejim diet seimbang dan aktiviti senaman secara kerap selain menjalani pembedahan bariatrik, Arya berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 104 kg dalam masa tiga tahun.


Dr Handy Wing, pakar bedah berkata, mereka mengecilkan perut Arya sehingga 30 peratus daripada saiz asal membuat bentuk seperti pisang, supaya pengambilan makanan dapat dikurangkan.



Arya berkata, dia berasa amat gembira kerana kini dapat menjalani kehidupan sama seperti remaja lain dan melakukan aktiviti-aktiviti normal. Kini, dia hanya makan tiga kali sehari termasuk nasi, tempe, tauhu dan ayam goreng.


"Dahulu, saya hanya makan mi segera dan minuman berkarbonat serta jarang memakan nasi. Namun kini, misi utama adalah untuk menghilangkan berat badan dengan cara bersenam dan mengamalkan diet seimbang," ujarnya.


Dalam pada itu, bapa Arya, Ade Somatri berkata, dia mengakui telah memanjakan anaknya dengan memberikan remaja itu pelbagai makanan ringan dan tidak sihat sejak kanak-kanak.


"Ketika berusia lima tahun dan telah pun mempunyai saiz badan yang berlebihan, saya dan isteri sering memenuhi permintaan Arya setiap kali dia mahu makan makanan dan minuman manis atau mi segera, saya telah memanjakan Arya," katanya.


Remaja itu kini menjalani pembedahan lanjut untuk membuang lebihan kulit dari lengannya. Dia juga berjalan 3 kilometer sehari, bermain bola keranjang dan boleh memanjat pokok dan menunggang motosikal buat kali pertama.


Arya berkata tabiat makan dan waktu tidur baharunya membantunya menurunkan berat badan. - Foto Getty.

Arya, ketika sebelum dan selepas kehilangan berat badan sebanyak 109 kg. - Foto Getty.


EmoticonEmoticon