Tiga personaliti media sosial di Rusia dikenakan hukuman penjara lebih tiga tahun, selepas didapati melakukan prank melampau terhadap seorang pemandu e-hailing dengan berpura-pura mencuri keretanya.
Menurut lapor laman berita Oddity Central pada 29 November 2021, tiga influencer tersebut memutuskan untuk melakukan prank itu dan merakam serta memuat naik video berkenaan di laman media sosial pada Mac 2021 lalu.
Ketika kejadian, tiga individu tersebut menghubungi syarikat perkhidmatan e-hailing kononnya mahu menempah kereta untuk melakukan perjalanan.
Apabila kereta sudah sampai, dua individu itu masuk ke dalam kereta dan meminta pemandu untuk membantu seorang lagi rakan, yang sedang meletakkan bagasi dalam bonet kenderaan itu.
Apabila pemandu e-hailing itu keluar, salah seorang individu dalam kenderaan tersebut melompat ke tempat duduk pemandu lalu melarikan kereta berkenaan.
Seluruh kejadian itu dirakam oleh seorang lagi rakan kepada influencer berkenaan. Pemandu itu yang menyangka keretanya telah dicuri lalu menghubungi polis.
Ketika mereka memulangkan semula kereta dan mengakui perbuatannya adalah gurauan semata-mata, polis sudah sampai di tempat kejadian.
Pada Khamis lalu, sebuah mahkamah memutuskan bahawa Dumshebay E., Tusupov A. dan Khasanov R.N. didapati bersalah melakukan jenayah dibawah Perkara 166 Kanun Tatacara Jenayah Persekutuan Rusia.
Ketiga-tiga individu itu dikenakan hukuman penjara selama tiga tahun enam bulan. Mereka akan menjalani hukuman tersebut di sebuah kem tahanan di tanah jajahan Rusia.
Tussupov A. yang kini mempunyai lebih 1.2 juta pengikut di Instagram dan dua rakannya yang merupakan penulis blog, mungkin akan dihantar ke kem tahanan gaya Gulag, kira-kira 500 kilometer dari Moscow.
Kem itu terletak berhampiran pekan kecil dan hanya menawarkan kemudahan yang amat terhad kepada tahanan. Ia menempatkan kira-kira 800 banduan yang tinggal di berek sekitar 100 hingga 120 orang. Didakwa hanya terdapat satu bilik air dengan satu tandas dan satu singki setiap berek.
EmoticonEmoticon