Isnin, 20 Disember 2021

Pesawat NASA berjaya 'sentuh' Matahari dan akan 'menyelam' lebih dalam lagi hingga tahun 2025


Sebuah pesawat angkasa lepas Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) berjaya mendekati matahari dengan jarak paling dekat daripada yang pernah dilakukan objek buatan manusia lain.

NASA membuat pengumuman tersebut pada 14 Disember 2021, mengenai kejayaan pesawat Parker Solar Probe yang 'menyentuh' atmosfera Matahari yang dikenali sebagai korona.

Pengumuman itu dibuat semasa pertemuan American Geophysical Union selepas pesawat itu menempuh perjalanan sejauh 150 juta kilometer dari Bumi. Kapal angkasa NASA itu, berjaya terbang melalui korona Matahari selama lima jam, April lalu.

Sebelum ini, pesawat itu berjaya melakukan kontak jarak dekat sebanyak lapan kali dengan sistem suria tersebut. Saintis berkata ia mengambil masa beberapa bulan untuk mendapatkan semula data dan kemudian beberapa bulan lagi untuk mengesahkannya.

Dilancarkan pada 2018, Parker Solar Probe berada dalam jarak 13 juta kilometer dari pusat Matahari apabila ia mula-mula melintasi sempadan bergerigi dan tidak rata antara atmosfera Matahari dan angin suria yang keluar.

"Kapal angkasa lepas itu berjaya mengembara sejauh 13 juta kilometer dari pusat Matahari dengan kelajuan 100 kilometer per saat. Ia masuk dan keluar korona sekurang-kurangnya tiga kali. Setiap peralihan berjalan lancar," kata saintis.

Pegawai NASA, Thomas Zurbuchen berkata, kejayaan pesawat itu menyentuh Matahari adalah detik paling membanggakan dalam sistem solar dan pencapaian yang begitu bermakna.

Korona kelihatan lebih berdebu daripada yang dijangkakan. Lawatan masa depan ke korona akan membantu saintis memahami dengan lebih baik asal usul angin suria, dan cara ia dipanaskan.

Disebabkan Matahari tidak mempunyai permukaan pepejal, korona menyediakan tempat untuk meneroka kawasan berkuasa magnet ini secara dekat, membantu saintis memahami dengan lebih baik letupan suria yang boleh mengganggu kehidupan di Bumi.

Memetik laporan Detikinet, Probe Solar Parker akan terus mendekati Matahari dan menyelam lebih dalam lagi ke dalam korona sehingga orbit terakhirnya pada tahun 2025.

Pesawat NASA berjaya sentuh Matahari untuk pertama kalinya. - Foto NASA.


EmoticonEmoticon