Jumaat, 24 Disember 2021

'Penyewa dari neraka' tinggalkan timbunan sampah, najis sebelum pindah keluar


Seorang pemilik rumah tidak menyangka rumah yang disewakan kepada seorang penyewa dipenuhi dengan timbunan sampah dan najis, lapor laman berita Mirror UK pada 22 Disember 2021.


Danny Hernon, 54, mula curiga apabila penyewa tersebut kelihatan keberatan untuk menyerahkan semula kunci rumah teres tiga bilik itu, walaupun sudah berpindah sejak lebih sebulan lalu.


Disebabkan itu, Hernon pergi ke rumah sewa tersebut yang terletak di Oldham, Greater Manchester, dan mendapati setiap sudut kediaman itu dipenuhi dengan sampah-sarap serta najis manusia dan najis haiwan peliharaan.


Dalam video yang dirakam Hernon, dapat dilihat sampah-sarap yang reput, termasuk timbunan kertas tandas terpakai dan kelihatan seperti najis menutupi lantai bilik mandi, manakala dinding bertukar warna hitam berkulat dan makanan yang membusuk.


Lebih mengecewakan, bekas penyewa rumah itu turut mencadangkan kepada Hernon supaya menggunakan duit deposit berjumlah 500 pound (RM2,807) untuk membersihkan rumah tersebut.



Jelas Hernon, jumlah itu terlalu sedikit untuk membersihkan keseluruhan rumah dan menggantikan bahagian yang kotor. Dia memaklumkan perlu mengeluarkan belanja sekurang-kurangnya 15,000 pound (RM84,215) bagi tujuan berkenaan.


Dia kemudian menghubungi polis untuk melaporkan kejadian itu sebagai kerosakan jenayah, dengan harapan dapat meminta bekas penyewa tersebut membayar sekurang-kurangnya sebahagian daripada ganti rugi.


"Saya tidak tahu bagaimana untuk gambarkan keadaan di rumah saya ketika ini. Situasinya amat teruk dengan sampah di sana sini. Bagaimana dia boleh hidup dalam keadaan kotor dan jijik seperti ini? Soalnya.


Menurut Hernon, wanita yang disebutnya 'penyewa dari neraka' itu telah menyewa rumah tersebut selama 18 tahun dengan bantuan Universal Credit, dan dipercayai tinggal bersama dengan pasangannya serta anak mereka.


Sebelum ini, Hernon ada memberikan notis kepada wanita itu untuk berpindah kerana rumah tersebut hendak dijual, dan pembeli sudah bersetuju dengan harga sebelum mendapati keadaan rumah itu.


Hernon bersama rakan niaganya (ejen) kini terpaksa menangguhkan penjualan, dan menanggung kos yang tinggi untuk membersihkan sampah dan menggantikan lantai, bilik mandi, dapur dan pintu dalaman yang kotor.


"Walau apa pun kosnya kami akan bawa dia ke mahkamah. Saya tahu dia tidak mempunyai banyak wang tetapi ia perlu menunjukkan bahawa anda tidak boleh meninggalkan kepada tuan rumah dalam situasi ini," katanya.


Tidak dapat dipastikan bila kali terakhir Hernon datang melawat rumah tersebut, namun keadaan yang dilihatnya amat mengejutkan. Polis Greater Manchester mengesahkan bahawa kejadian itu dilaporkan pada 15 Disember dan sedang disiasat.


"Adalah penting bagi tuan rumah menjalankan pemeriksaan ke atas penyewa mereka sebelum menyewakan hartanah, dan perlu menjalankan pemeriksaan berkala untuk memastikan penyewa mematuhi perjanjian dan rumah itu dalam keadaan baik," kata jurucakap Oldham Council.


Keadaan di dalam rumah sewa milik Danny Hernon di Manchester, Britain. - Foto Kennedy News and Media.


EmoticonEmoticon