Selasa, 14 Disember 2021

Pendaki gunung jumpa 'harta karun' bernilai RM716,800 diserah ke balai polis tempatan


Sekumpulan pendaki menemui 'harta karun' berbentuk zamrud, delima dan nilam di glasier Mont Blanc, Perancis, milik pesawat India yang terhempas secara misteri pada tahun 1966, dan hanya ditemui secara kebetulan beberapa dekad kemudian, lapor akhbar Daily Star 10 Disember 2021.


Satu bungkusan akhbar India bertarikh tahun 1966 ditemui pada 2008 dalam keadaan boleh dibaca, dan empat tahun kemudian satu karung mengandungi kertas diplomatik sulit ditemui dan diserahkan kepada polis Perancis.


Pada tahun berikutnya, 2013, sekumpulan pendaki gunung tersebut terjumpa batu permata tersembunyi dalam kotak logam, di atas pesawat India yang terhempas di pergunungan terpencil itu kira-kira 50 tahun lalu.


Mereka menyerahkan kotak berkenaan ke balai polis tempatan. Pihak polis telah cuba mengesan pemilik asal tetapi carian tidak membuahkan hasil. Kumpulan pendaki itu dipuji kerana berintegriti apabila menyerahkannya kepada polis, seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.


Selepas beberapa tahun pemiliknya masih tidak dapat dikesan, mahkamah akhirnya memutuskan permata berharga itu dibahagikan sama rata antara kerajaan tempatan Chamonix dan pendaki yang menemuinya.


"Penemuan batu-batu itu dikongsi sama rata minggu ini yang dianggarkan bernilai kira-kira 150,000 euro (RM716,800) atau 75,000 euro setiap satu," kata Datuk Bandar Chamonix Eric Fournier.


Menurut Eric, pihaknya merancangan meletakkan batu-batu tersebut di Muzium Kristal Chamonix untuk dipamerkan. Muzium itu sedang menjalani kerja-kerja pengubahsuaian dan dijangka dibuka semula pada 19 Disember ini.


Pada September 2012, India mengutus surat diplomatik sebagai pemilik pesawat Boeing 707 yang terbang dari Mumbai dan terhempas di barat daya Mont Blanc pada 24 Januari 1966. Nahas itu mengorbankan 117 orang termasuk perintis program nuklear India, Homi Jehangir Bhabha.


Selama bertahun-tahun, pendaki secara rutin menemui serpihan, bagasi dan mayat. Pihak berkuasa percaya batu berharga itu berkemungkinan berasal dari penerbangan itu yang dalam perjalanan dari Mumbai ke New York.


Batu permata berharga itu dibahagikan sama rata antara pendaki dan kerajaan tempatan. - Foto Mairie de Chamonix-Mont-Blanc.


EmoticonEmoticon