Isnin, 6 Disember 2021

Niat Mahu Usir Ular Guna Asap, Rumah Bernilai RM7.6 Juta Pula Terbakar


Seorang penduduk di Maryland yang cuba mengusir keluar ular daripada rumahnya dengan menggunakan asap dari bara api, dilaporkan secara tidak sengaja membakar rumah agamnya, lapor akhbar Daily Mail pada 4 Disember 2021.


Tindakan pemilik rumah berkenaan menyebabkan kediamannya yang bernilai AS$1.8 juta (RM7.61 juta) terletak di 21050 Big Woods Road di Dickerson, Maryland itu hangus dalam kebakaran tersebut.


Pegawai penyiasat berkata, pemilik itu menggunakan arang untuk menyalakan api dalam usaha mengusir reptilia tersebut, namun tanpa disedari meletakkannya terlalu dekat dengan bahan mudah terbakar lalu mencetuskan kebakaran.


Kejadian kebakaran itu berlaku kira-kira pada pukul 10 malam (waktu tempatan) pada 23 November lalu. Menurut lapor WJLA, kebakaran bermula di ruang bawah tanah kediaman bertingkat itu sebelum merebak ke seluruh bahagian rumah.


Apabila kira-kira 75 anggota bomba sampai di lokasi kejadian, sebahagian struktur kediaman dan bumbung rumah telah runtuh dalam kebakaran itu. Pasukan bomba turut berhadapan kesukaran ketika memadamkan kebakaran kerana ketiadaan pili bomba di hartanah berkenaan.


Sementara itu, Ketua Jurucakap Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat County Montgomery di Maryland, Pete Piringer berkata, pemilik tidak menyedari rumahnya terbakar selepas menyalakan api pada arang di ruang bawah tanah.



Dilaporkan, tiada individu yang mengalami kecederaan dalam kejadian itu. Kerugian akibat kebakaran tersebut dianggarkan mencecah lebih AS$1 juta (RM4.23 juta).


Pegawai tidak menyatakan jenis ular yang merayap masuk ke dalam rumah, tetapi pakar hidupan liar berkata ia adalah perkara biasa bagi reptilia mencari perlindungan ketika cuaca sejuk.


"Semasa musim sejuk, seperti mana-mana haiwan lain, mereka secara semula jadi ingin mencari ruang untuk kekal panas supaya mereka tidak akan membeku," kata pakar pemuliharaan Beth Schlimm.


Tambah Schlimm, cara paling berkesan untuk mencegah sebarang jenis serangan adalah dengan menutup retakan pada rumah, supaya mana-mana haiwan tidak mudah memasuki rumah berkenaan.


Manakala pegawai Maryland dan pakar kawalan perosak menambah bahawa mereka tidak mengesyorkan menggunakan kaedah asap ini untuk mengusir ular.


"Hanya satu kulit ular ditemui di antara abu, manakala ular lain ditemui masih hidup menyorok antara rekahan. Anggota bomba akhirnya menangkap ular berkenaan sebelum melepaskannya ke dalam hutan berhampiran," kata Piringer.


Kerugian akibat kebakaran tersebut dianggarkan mencecah lebih AS$1 juta (RM4.23 juta). - Foto Daily Mail.

Tiada individu mengalami kecederaan dalam kebakaran tersebut. - Foto Daily Mail.


EmoticonEmoticon