Rabu, 15 Disember 2021

'Long Tiger' Lolos Lokap, Polis Melaka Tubuh Team Pantas Kesan Suspek


Polis giat memburu seorang lelaki warga Myanmar bernama Abdul Hamim Ab. Hamid, 32, juga dikenali sebagai 'Long Tiger' yang meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Johor, pagi hari ini.


Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat berkata, polis kini menjalankan Ops Tutup di semua jalan keluar dan masuk daerah Tangkak. Usaha mengesan suspek kini giat dijalankan dan polis turut guna khidmat anjing pengesan K9.


Menjelas lanjut, Mohd Fadhil berkata, polis menerima laporan pada 11.55 pagi hari ini memaklumkan seorang lelaki melarikan diri dari lokap dengan keadaan tangan bergari, memakai baju T cerah, berseluar panjang coklat serta memakai selipar.


Menurutnya, suspek telah diambil oleh pihak polis di penjara Sungai Udang, Melaka semalam untuk perbicaraan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan. Prosiding yang sepatutnya bermula pada jam 10 pagi ditangguhkan sementara menunggu kehadiran peguam bela tertuduh.


"Bagaimanapun, beberapa anggota polis yang membawa suspek ke mahkamah menyedari tertuduh sedang cuba melarikan diri, apabila melihat dia keluar ke pintu utama mahkamah menuju ke pagar serta menghilangkan diri sekitar semak samun berhampiran.


"Siasatan lanjut masih dijalankan, dan kami tidak akan berkompromi serta bertindak tegas terhadap mana-mana pihak termasuk anggota polis jika siasatan mendapati terdapat unsur kecuaian. Kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan," katanya.


Susulan itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, pihaknya juga telah menubuhkan satu pasukan Team Pantas bagi membantu kontinjen Johor mengesan Long Tiger dan meningkatkan kawalan pintu sempadan.


"Kita memang dapat maklumat Long Tiger itu telah melarikan diri dan kita akan tingkatkan risikan dan pencegahan di sempadan negeri. Team Pantas di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri sedang membuat risikan sekiranya terdapat pergerakan etnik Rohingya itu merentas masuk ke negeri ini," katanya.


Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Kami Prihatin anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di Taman Seri Duyong, di sini hari ini.


Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Mohd. Fadhil Minhat (tengah) menunjukkan wajah suspek yang dikenali sebagai Long Tiger yang kini diburu polis di IPD Tangkak, Johor. - Foto Utusan Malaysia.


EmoticonEmoticon