Ahad, 26 Disember 2021

Kereta kebal misteri dikesan terapung di laut Indonesia


Satu objek asing yang menyerupai peralatan tentera dan mirip sebuah kereta kebal tentera, dijumpai terapung di perairan Natuna, Kepulauan Riau di Indonesia, lapor laman berita Detik News pada 21 Disember 2021.


Minggu lalu, foto yang memaparkan objek tersebut dirakam sedang terapung menjadi tular di media sosial Indonesia.


Ia dirakam oleh pekerja pelantar di Laut Natuna yang merupakan kawasan yang luas dan cetek di bahagian paling selatan Laut China Selatan yang sebahagian besarnya berada di perairan negara Indonesia.


Salah satu foto itu menunjukkan objek tersebut sedang hanyut di dengan turet dan meriamnya jelas kelihatan. Biarpun kenderaan itu kelihatan berkarat, beberapa peralatan luarannya dilihat berada dalam keadaan baik.



Keadaan laut yang bergelora bagaimanapun menyebabkan kapal pengendalian sauh OPS Astrid gagal mendekati objek berkenaan.


Susulan penemuan objek misteri itu tular di media sosial, Ketua Perkhidmatan Penerangan Tentera Laut, Laksamana Julius Widjodjono berkata pada 20 Disember 2021, pihaknya masih menganalisis kehadiran objek seperti kereta kebal itu di tengah laut.


Ketua Dinas Penerangan Lantamal IV, Mejar Marin Saul Jamlaay turut mengesahkan penemuan itu berkata, "Ya, memang ada temuan objek yang mirip dengan kereta kebal, tetapi tidak berbahaya."


Menurutnya, objek itu milik syarikat minyak dan gas Star Energy dari pelantar blok snapper. Syarikat itu sedang menggerudi di Laut Natuna. Mereka telah mengakui perkara ini dan objek itu hanyut dengan sendirinya.


Beliau turut meminta orang ramai berhati-hati ketika turun ke laut. Begitu juga, jika ada menemui objek asing yang luar biasa di laut, mereka harus segera melaporkannya kepada Tentera Laut Indonesia.


Gambar menunjukkan satu objek misteri yang dirakam oleh pekerja pelantar di Laut Natuna. - Foto Twitter.


EmoticonEmoticon