Seorang wanita bertindak menyerang seorang lelaki warga emas kerana tidak memakai pelitup muka ketika makan, walaupun dia sendiri tidak memakainya, lapor akhbar Metro UK pada 27 Disember 2021.
Kejadian itu berlaku di dalam sebuah pesawat Delta Air Lines yang sedang dalam penerbangan. Patricia Cornwall kemudian ditangkap oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) selepas insiden tersebut pada Khamis minggu lalu, demikian menurut polis Atlanta.
Sebuah rakaman video yang tular di laman Twitter menunjukkan seorang wanita berdiri di hadapan seorang lelaki warga emas, yang telah menanggalkan topeng mukanya semasa makan dan minum di tempat duduknya.
Dalam klip yang dimuat naik oleh akaun bernama ATL Uncensored memaparkan wanita itu sedang memarahi seorang lelaki warga emas berusia 80 tahun.
Lelaki itu dan penumpang lain menggelarnya sebagai 'Karen', nama panggilan menghina yang diberikan kepada wanita yang biasanya berkulit putih yang angkuh dan tidak munasabah.
"Pakai pelitup muka sialan!" jerit wanita itu walaupun pelitup mukanya sendiri diletakkan di bawah dagu.
"Duduk, Karen!" balas warga emas itu.
Ketika bertengkar, wanita itu dilihat menampar lelaki terbabit dengan tangan kirinya, kemudian wanita itu cuba menumbuk dengan tangan kanannya pula namun dihalang oleh penumpang lain.
Kru pesawat kemudian dilihat menahan wanita itu dan membawanya ke lorong sambil wanita itu menjerit, 'kau sialan!'
Dalam klip itu, seseorang mengatakan bahawa wanita itu 'menggila' di dalam pesawat dengan menumbuk, meludah, mencakar dan menuang air panas pada lelaki warga emas itu.
Kapal terbang tersebut mendarat pada pukul 7.10 pagi (waktu tempatan) di Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson Atlanta, polis yang menunggu menahan suspek dan diserahkan kepada FBI untuk tindakan lanjut.
Delta Air Lines mengesahkan kepada New York Post bahawa pegawai penguatkuasa undang-undang bertindak balas terhadap 'gangguan pelanggan yang tidak terkawal'.
"Situasi seperti ini jarang berlaku untuk sebahagian besar pelanggan kami, dan Delta tidak bertolak ansur terhadap kelakuan tidak terkawal di lapangan terbang kami dan di dalam pesawat kami," kata syarikat penerbangan itu.
EmoticonEmoticon